Exco Cadang Ketum Sebagai Rawatan Alternatif Ketagihan Dadah

Ketum mempunyai potensi sebagai satu komoditi untuk dieksport ke luar negara.

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Seorang ahli exco Pulau Pinang menyarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membenarkan penggunaan dan pemilikan tanaman ketum untuk merawat ketagihan dadah.

Dr Afif Bahardin, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan bagi negeri Pulau Pinang, berkata beliau terjumpa kedai CBD Kratom di Chicago, Amerika Syarikat, yang menjual produk ketum dengan majoriti bahan mentahnya dari Malaysia untuk merawat ketagihan opioid. CBD ialah kompound dalam ganja yang tidak menyebabkan perasaan “high”.

“Kerajaan harus berpandangan bahawa perlu untuk memperbetulkan pemahaman masyarakat awam tentang isu penggunaan daun ketum dalam memberi manfaat bukan sahaja kepada individu penagih, malah kepada pengusaha petani di luar bandar dan juga kepada ekonomi negara,” kata Dr Afif dalam sebuah kenyataan.

“Pelbagai kajian yang telah dijalankan oleh agensi kerajaan dan institut penyelidikan tempatan seperti RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah), AADK (Agensi Anti-Dadah Kebangsaan) dan universiti tempatan melihat ketum sebagai satu komoditi yang berpotensi untuk dikembangkan di luar negara dalam industri perubatan berikutan permintaan negara luar yang begitu tinggi terhadap bahan tersebut.”

Walau bagaimanapun, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata pada bulan Julai lalu bahawa KKM sedang meminda Akta Racun 1952 untuk melarang penanaman daun ketum.

https://twitter.com/afifbahardin/status/1191182143340326917

Menjawab kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman, Dr Afif berkata bahawa Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) perlu melihat perkara ini sebagai satu peluang untuk memperbetulkan stigma melalui kerja-kerja berbentuk penerangan dan advokasi akan kelebihan daun ketum dari sudut kesihatan.

“Saya berpandangan kerajaan harus mewujudkan satu akta khas bagi penggunaan dan pemilikan tanaman ketum melihat kepada bukan sahaja potensi untuk meningkatkan lagi pendapatan negara, malah juga sebagai rawatan alternatif yang mampu atasi masalah ketagihan dadah di negara ini.

“Usaha kerja-kerja penyelidikan perlu diberikan kepada agensi-agensi penyelidikan dan perbincangan secara terbuka bersama masyarakat awam perlu dilakukan secara kerap bagi membetulkan tanggapan salah terhadap manfaat daun ketum,” tambah beliau.

“Penubuhan Pusat Tanaman Herba Bertam yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang juga sangat bersedia untuk dijadikan sebagai pusat kajian dan pengkomersialan produk berkaitan ketum untuk digunakan dengan selamat selaras dengan hasrat dan wawasan Kerajaan yang ingin menjadikan industri herba tergolong dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang berpotensi untuk menjana pendapatan negara.”

You may also like