KUALA LUMPUR, 4 Okt – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata serbuan dibuat di pejabat seorang doktor pakar wanita di sini berdasarkan aduan awam yang mendakwa premis tersebut memiliki produk kesihatan yang tidak berdaftar.
Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah mengesahkan pemeriksaan ke atas premis, iaitu DHA Healthcare Enterprise di Bukit Damansara di sini, pada 2 Oktober, tetapi menafikan dakwaan bahawa operasi dilakukan dengan kasar.
Pemilik premis, Dr Ahmad Arshat, mengadu melalui akaun Facebooknya semalam bahawa pejabatnya telah diserbu dan diselongkar oleh pihak KKM dan berkata bahawa pihak berkuasa tersebut pulang tanpa apa-apa bukti kesalahan, meninggalkan pejabatnya dalam keadaan kucar kacir.
“Pemeriksaan oleh anggota penguatkuasa telah dijalankan mengikut prosedur dan standard yang telah ditetapkan oleh KKM, iaitu bersandarkan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan,” kata Dr Param Jeet Singh A/L Pakar Singh, Pengarah Kesihatan Negeri Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dalam satu kenyataan.
Sebelum pemeriksaan dijalankan, melalui siasatan awal, pihak berkuasa mendapati premis tersebut telah disahkan memiliki dan menjual produk sasaran berdasarkan belian percubaan (test buy) berserta resit bayaran.
Produk tersebut didapati tiada lagi di premis ketika pemeriksaan dijalankan, tetapi bahan iklan berbentuk risalah produk tidak berdaftar tersebut telah ditemui di premis terbabit.
“Pemeriksaan tersebut telah dijalankan dengan penuh berhemah dan beretika serta dalam keadaan yang tenang. Tidak berlaku sebarang kucar-kacir atau kekasaran seperti yang dilaporkan di media sosial,” kata Dr Param.
Selain itu, premis tersebut dikatakan tidak pernah berlesen dengan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) KKM sejak penubuhannya.
Adalah dimaklumkan juga, premis ini merupakan sebuah fasiliti yang dimiliki oleh seorang doktor sakit puan di Malaysia.
“Meskipun banyak perbincangan dan usaha oleh CKAPS untuk memudahcara perlesenan premis ini, namun pemilik masih tidak dapat memenuhi syor yang diberi supaya ianya dapat dilesenkan sebagai fasiliti kesihatan swasta berlesen yang sah.
“Oleh itu, pada 26 Februari 2016, CKAPS telah mengeluarkan satu surat arahan supaya premis ini menghentikan operasi perkhidmatan kesihatan,” terang Dr Param.
Memiliki atau menjual produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan KKM adalah merupakan pelanggaran di bawah Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan ianya boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.