Doktor: ‘Mengapa KKM Serbu Pejabat Macam Saya Penjenayah?’

Pihak berkuasa KKM dikatakan pulang tanpa apa-apa bukti kesalahan.

KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Pejabat seorang doktor pakar wanita di Plaza Damansara di sini diserbu dan diselongkar semalam oleh sekumpulan yang dikatakan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tanpa notis dan tanpa jelas apa tujuan, mereka datang dengan mengejut seolah-olah saya seorang penjenayah,” kata Dr Hamid Arshat, melalui akaun Facebook beliau.

Ketika serbuan tersebut, beliau berada di kliniknya di Taman Desa Medical Centre.

“Saya rasa amat terkilan dengan layanan dan tindakan kasar kakitangan-kakitangan muda yang semacam gila kuasa,” beliau berkata.

Dr Hamid menyuarakan rasa tidak puas hati beliau dan berkata bahawa pihak berkuasa tersebut pulang tanpa apa-apa bukti kesalahan dan tinggalkan pejabatnya dalam keadaan kucar kacir.

“Apa salahnya kalau pihak berkuasa hubungi saya dulu dan nyatakan apa kesalahan yang saya buat sebelum menyerbu dan selongkar pejabat saya di Plaza75m Bukit Damansara,” kata beliau.

“Sungguh menyedihkan dengan tindakan kasar keatas pejabat dan staff saya.”

Dr Hamid, yang telah berkhidmat sebagai doktor hampir 50 tahun dan sebagai pakar bidan selama 43 tahun, berkata pada tahun 70-an dan 80-an, beliau memberi rawatan kepada pesakit tanpa mengira masa dan gaji, dan juga pernah kerja selama 72 jam berturut-turut dengan gaji RM600 sebulan.

“Kakitangan yang bertindak belum lahir kedunia lagi, saya telah berkhidmat dengan KKM.”

You may also like