KUALA LUMPUR, 2 Okt – Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) telah mengumumkan bahawa ia akan menyediakan rawatan kepada hampir 100 orang pesakit jantung dalam tempoh setahun sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat.
Usaha itu susulan penyertaan pihaknya sebagai salah sebuah hospital terpilih untuk memberikan rawatan kepada ahli Skim Peduli Sihat Selangor di bawah inisiatif “Skim Rawatan Jantung”.
“Pada tahun depan kita jangka dapat merawat dua hingga tiga pesakit untuk rawatan pembedahan pintasan (bypass) manakala lima lagi pesakit bagi rawatan coronary stenting setiap bulan,” berkata pengerusi CVSKL, Dr Yahya Awang, dalam satu kenyataan baru-baru ini.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan rawatan berjumlah 84 hingga 96 pesakit pada tahun 2020.”
Golongan B40 di Selangor yang berpendapatan antara RM2,000 hingga RM8,000 sebulan dan tersenarai di bawah Skim Peduli Sihat layak mendapatkan rawatan di CVSKL sekiranya mereka memenuhi kriteria ditetapkan.
Selain daripada itu, sekitar RM12 juta telah dibelanjakan untuk merawat pesakit jantung melalui Skim Rawatan Jantung Selangor yang diperkenalkan sejak Februari 2018 lalu.
Sehingga kini, hampir 1,000 pesakit telah menerima manfaat penjagaan kesihatan dan perubatan menerusi program itu.
“SELCARE menjangkakan lebih ramai pesakit jantung dirawat tahun ini dengan unjuran kira-kira 500 pesakit melibatkan perbelanjaan sebanyak RM5 juta,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SELGATE, Noor Hisham Mohd Ghouth.