Maszlee: Pembinaan Hospital Pengajar UNIMAS Dijangka Mengambil 2 Tahun

Projek tersebut telah digabungkan dengan projek pembinaan Pusat Kesihatan Prima dan Pusat Jagaan Harian UNIMAS.

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Projek pembinaan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), projek pembinaan Pusat Kesihatan Prima dan Pusat Jagaan Harian di Kampus UNIMAS telah digabungkan di bawah satu projek, kata Maszlee Malik.

Menteri Pendidikan berkata sedemikian semasa menjawab soalan Parlimen berkaitan status terkini pembinaan hospital tersebut di Kota Samarahan, daripada Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Awang.

“Makmal Pengurusan Nilai (VM) bagi projek ini telah diadakan pada 8 hingga 12 April 2019 yang lalu dan makmal telah bersetuju untuk menggabungkan Projek Pembinaan dan Penyiapan Hospital Pengajar UNIMAS Kota Samarahan, Sarawak dengan Projek Pembinaan Pusat Kesihatan Prima (PKP) dan Pusat Jagaan Harian (PJH) di UNIMAS,” kata Maszlee.

“Kos keseluruhan (baharu) bagi projek ini berjumlah RM560 juta. Makmal Pengurusan Nilai telah bersetuju bahawa tempoh pelaksanaan bagi Hospital Pengajar UNIMAS dijangkakan selama 48 bulan.

“Manakala pembinaan PKP perlu disiapkan dalam tempoh 24 bulan yang pertama supaya ianya beroperasi lebih awal,” beliau ujar.

“Sehingga kini, projek ini sedang dalam proses perolehan dan dijangka Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan pada bulan Mei 2020 dan dijangka siap pada bulan Mei 2024.”

You may also like