29 Mangsa Pasir Gudang Dirawat Untuk Sesak Nafas

Jabatan Alam Sekitar Johor akan menyiasat jika asap gas LPG ialah punca gejala sesak nafas di Pasir Gudang

KUALA LUMPUR, 21 Jun — Sebanyak 29 orang mangsa daripada Pasir Gudang, Johor Baru, kebanyakannya pelajar sekolah, telah mendapatkan rawatan untuk sesak nafas setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiada kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kematian dicatatkan.

“Keadaan kesemua pesakit adalah stabil,” Dr Noor Hisham berkata dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Johor melaporkan satu kejadian pelajar-pelajar sekolah mengalami gejala sesak nafas telah berlaku di Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang semalam.

Daripada 29 orang mangsa yang mendapat rawatan, iaitu 21 perempuan dan lapan lelaki, 16 orang daripada mereka adalah dari Sekolah Agama Taman Mawar, iaitu 14 pelajar dan dua dewasa, manakala 13 orang lagi adalah dari Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang (4) di mana kesemuanya adalah pelajar.

“Orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala kesesakan nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan,” Dr Noor HIsham berkata.

Malay Mail lapor semalam exco Johor Tan Chen Choon, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar Dan Alam Sekitar Johor, berkata bahawa Jabatan Alam Sekitar Johor akan menyiasat jika asap gas LPG ialah punca gejala sesak nafas di Pasir Gudang.

You may also like