CAP: Haramkan E-Rokok Dan Alat Vape Di Malaysia

CAP mendakwa 10% pengguna e-rokok di Malaysia adalah kanak-kanak bawah umur.

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menyeru kerajaan agar mengenakan larangan terhadap e-rokok atau vape (EVC) di seluruh negara.

CAP mendakwa bahawa menghisap vape bukan alternatif yang kurang berbahaya berbanding merokok kerana menghisap vape mungkin menyebabkan penyakit paru-paru seperti emfisema dan “popcorn lungs”. Pihak berkuasa UK telah berkata bahawa vape adalah 95 peratus kurang berbahaya berbanding merokok.

“Malaysia mungkin berada di ambang kemungkinan berlakunya krisis kesihatan awam jika terdapat kes penyakit paru-paru berkaitan vape tidak dilaporkan,” kata Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader.

“Mengesan sumber penyebab akan menjadi satu mimpi ngeri yang dahsyat.

“Tidak seperti di Amerika Syarikat, di Malaysia, pihak berkuasa kesihatan tidak menubuhkan satu sistem untuk memeriksa jika terdapat kes berkaitan menghisap vape yang tidak dapat dikesan di negara ini.”

Mohideen berkata dalam sebuah kenyataan bahawa terdapat kira-kira 1 juta pengguna e-rokok di Malaysia dan mendakwa bahawa kira-kira 10 peratus daripada mereka adalah kanak-kanak di bawah umur.

“Tinjauan oleh CAP baru-baru ini melibatkan 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah mengenai EVC dan merokok mendapati pelajar ini membentuk kumpulan yang terdiri daripada enam hingga 10 orang dan menamakan diri mereka dengan e-cecair.

“Mereka akan bertemu di pasar raya berdekatan sekolah dan mengumpulkan wang setiap minggu untuk membeli e-cecair.”

“Sesetengah pelajar menjadi ejen jualan sebagai tukaran bagi e-cecair percuma atau mendapat diskaun bagi produk.”

CAP juga mengungkitkan kebimbangan bahawa pernah terdapat kes-kes peranti e-rokok yang meletup.

“Walaupun kejadian ini berlaku, tidak terdapat sebarang penarikan balik produk alatan dari pasaran yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Kami mengulangi gesaan agar e-rokok dan alat vape diharamkan disebabkan oleh risiko kesihatan, penyebarannya dalam kalangan mereka di bawah umur dan membazirkan wang yang dibelanjakan ke atas ketagihan bahan kimia.”

Baru-baru ini, Amerika Syarikat telah digemparkan dengan berita 16 kematian dan 805 kes penyakit paru-paru berkaitan dengan penggunaan e-rokok.

Siasatan Centers for Disease Control and Prevention (CDC) mendapati bahawa 87 peratus daripada pesakit yang ditemuduga menggunakan produk e-rokok yang mengandungi tetrahydrocannabinol (THC), yang terdapat di dalam dadah jenis marijuana.

E-cecair yang mengandungi THC tidak dijual di Malaysia disebabkan marijuana adalah haram.

You may also like