KUALA LUMPUR, 16 Sept – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaporkan bahawa tiada kehadiran pesakit dalam jumlah yang luar biasa bagi penyakit bersabitan dengan gejala akibat jerebu, khususnya dalam penyakit pernafasan kronik seperti asma dan sebagainya.
“KKM memantau penyakit berkait jerebu di klinik-klinik sentinel terpilih yang terlibat dengan jerebu. Tiga penyakit dipantau iaitu Conjunctivitis (sakit mata), jangkitan pernafasan atas (URTI) dan asma,” KKM berkata dalam sebuah kenyataan semalam.
Data dikumpul secara harian, dari klinik sentinel yang berada 5km dari lokasi pemantauan kualiti udara oleh Jabatan Alam Sekitar, dan dilapor secara kolektif mengikut minggu bagi mengambil kira kesan kesihatan yang boleh terjadi beberapa hari selepas pendedahan kepada jerebu.
“Semenjak kejadian jerebu melanda Sarawak, sehingga kini sudah empat minggu pemantauan penyakit dilakukan,” menurut KKM.
“Walau bagaimanapun, data kehadiran penyakit yang dipantau adalah tidak konsisten. Apa yang jelas, setakat ini tidak terdapat kehadiran pesakit dalam jumlah yang luar biasa.”
Manakala di Negri Sembilan, Jabatan Kesihatan Negri Sembilan (JKNNS) sedang memantau tiga penyakit tersebut di sebalik gejala jerebu di negeri itu.
“Secara keseluruhan, kedatangan kes penyakit URTI, jangkitan mata dan asma di fasiliti kesihatan sentinel menunjukkan peningkatan sebanyak 14.3 peratus, 3.1 peratus dan 1.4 peratus pada minggu epid ke-37 berbanding minggu sebelumnya berikutan peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat pada minggu epid ke-37,” Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negri Sembilan S. Veerapan berkata dalam sebuah kenyataan, menurut Bernama.
“Aktiviti pendidikan kesihatan telah dipergiatkan terutama kepada golongan berisiko tinggi di peringkat klinik-klinik kesihatan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu.”
“Bekalan ubat-ubatan juga dipastikan sentiasa berada dalam keadaan yang mencukupi supaya semua pesakit mendapat rawatan yang sempurna,” katanya.