Kes Asma Dan Konjunktivitis Meningkat Selepas Jerebu

Pemantauan dibuat berdasarkan 31 klinik sentinel jerebu.

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mencatatkan peningkatan 16 peratus kes asma dan 25 peratus kes konjunktivitis yang dikaitkan dengan masalah jerebu yang melanda negara.

Manakala terdapat penurunan sebanyak 17 peratus dalam kes Upper Respiratory Tract Infection (URTI).

“KKM memantau penyakit-penyakit berkaitan jerebu di 31 buah klinik sentinel jerebu, KKM iaitu penyakit asma, konjuntivitis dan jangkitan saluran pernafasan,” Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia berkata dalam sebuah kenyataan.

Perbandingan dibuat berdasarkan purata minggu epid 27 hingga 36 iaitu dari (30 Jun hingga 7 September 2019), dan minggu epid 37, iaitu dari 8 hingga 14 September 2019.

Terdapat peningkatan penyakit asma sebanyak 15.8 peratus (1,187 kepada 1,375 kes) pada minggu epid 37, berbanding dengan purata minggu epid 27 hingga minggu epid 36.

Bagi penyakit konjuntivitis, terdapat peningkatan sebanyak 24.9 peratus (253 kepada 317 kes) pada tempoh masa yang sama.

Manakala penyakit URTI menunjukkan penurunan sebanyak 17.3 peratus (7,551 kepada 6,245 kes).

“Orang ramai terutamanya golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, perokok, mereka yang sentiasa terdedah dengan udara luar dan mereka yang mengalami penyakit seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung dan alahan dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu,” Dr Noor Hisham berkata.

You may also like