Tular 70 Kes TB Di JB Tidak Benar

Tiada kes TB di Kampung Melayu, Majidee Baru, atau Kampung Melayu Pandan Pandan.

KUALA LUMPUR, 1 Ogos — Jabatan Kesihatan Negeri Johor menafikan hari ini dakwaan yang tular di laman sosial bahawa terdapat 70 kes penyakit tuberkulosis (TB) di Johor Baru. 

Pengarahnya, Dr Selahuddeen Abd Aziz, berkata jabatannya tidak menghalang pergerakan awam, termasuk ke kawasan yang terbabit dalam dakwaan — Kampung Melayu, Majidee Baru, dan Kampung Melayu Pandan Pandan — disebabkan penyakit TB atau penyakit berjangkit yang lain.

“Untuk makluman, dari bulan Januari hingga Julai 2019, hanya terdapat 10 kes TB dilaporkan di kawasan berkenaan dan kesemua kes tersebut diberikan rawatan serta dipantau status kesihatan mereka.

“Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor ingin memaklumkan bahawa mesej tular tersebut adalah tidak benar,” beliau dilaporkan berkata dalam satu kenyataan.

Harian Metro melaporkan mesej yang dikongsikan di WhatsApp yang mendakwa staf Hospital Sultan Aminah mengesahkan 70 kes TB di Kampung Melayu Majidee Baru dan Pandan.

“Jabatan Kesihatan ingin menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu demi mengelakkan timbulnya kekeliruan dan situasi panik di kalangan masyarakat,” Dr Selahuddeen berkata.

You may also like