Kanak-Kanak Perempuan Berusia 2 Tahun, Meninggal Selepas Didera

Mangsa dipercayai mengalami penderaan fizikal dan seksual.

KUALA LUMPUR, 11 September — Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal di Kandang, Melaka semalam. Dia dipercayai mengalami kecederaan akibat penderaan fizikal dan seksual yang dilakukan oleh seorang pengasuh dan suaminya.

Astro Awani melaporkan bahawa ibu saudara kanak-kanak itu terpaksa menyerahkannya buat sementara ke pasangan tersebut dua bulan yang lalu disebabkan perlu bekerja di Terengganu. Wanita tersebut merupakan penjaga yang membesarkan kanak-kanak itu.

Sekitar 2 pagi hari Selasa, kanak-kanak perempuan tersebut dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Melaka selepas didapati tidak sedarkan diri.

Pegawai perubatan yang bertugas cuba melakukan bantuan pernafasan CPR ke atas mangsa. Walaubagaimanapun, usaha tersebut tidak berjaya dan beliau disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Badan mangsa didapati mempunyai kesan parut di kepala dan paha.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris dilaporkan mengesahkan kejadian berkenaan dan penahanan pasangan suami isteri berusia 45 dan 36 tahun sejak malam tadi. Laporan bedah siasat terhadap mangsa sedang dilakukan oleh Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

Mohd Nor juga menyatakan bahawa kes ini sedang disiasat mengikut seksyen Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

You may also like