Lelaki Mati Akibat Gigitan Anjing Kesayangan

40 peratus daripada 1000 anjing yang diuji disahkan menghidap rabies.

KUALA LUMPUR, August 12 — Seorang lelaki berumur 46 tahun dari Kota Padawan, Kuching, meninggal akibat dijangkiti rabies atau penyakit anjing gila minggu lalu. Beliau telah digigit oleh anak anjing peliharaannya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah dalam sebuah kenyataan memberitahu bahawa mangsa telah disahkan menghidap penyakit tersebut melalui ujian makmal yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Kesihatan (IMR).

Beliau berkata lelaki tersebut telah mengambil seekor anak anjing daripada kawannya pada penghujung bulan Mei dan membuat keputusan memelihara haiwan tersebut tanpa mengetahui ianya dijangkiti rabies.

“Ketika lelaki tersebut cuba menangkap anak anjing itu pada Jun 15, tangannya telah digigit. Pada masa yang sama, anak perempuannya yang berusia 8 tahun juga telah digigit. Mereka terus membasuh luka anaknya selama 15 minit,” kata Dr. Noor Hisham.

Pada Jun 17, mangsa telah membawa anaknya ke Post-Bite Clinic di Hospital Sarawak, dimana ia telah menerima vaksin bagi mencegah rabies.

Walaubagaimanapun, mangsa tidak memberitahu hospital atau kakitangan klinik tersebut bahawa beliau juga telah digigit. Pada 29 Julai, mangsa mengalami demam, sakit kepala dan keletihan. Beliau kemudiannya mendapatkan rawatan di dua klinik kesihatan. Walaubagaimanapun, beliau masih tidak memberitahu bahawa ia telah digigit.

Keadaan mangsa menjadi teruk dan pada 3 Ogos telah mendapatkan rawatan di Hospital Sarawak. Ketika itu, mangsa telah menjadi agresif, mengalami hidrofobia, aerofobia dan kelemahan pada tangannya. Beliau meninggal pada 3 Ogos.

Walaubagaimanapun, anak mangsa dalam keadaan baik dan kini sedang dipantau.

Kementerian menyatakan bahawa kejadian ini menjadikan bilangan kes rabies yang dilaporkan kepada 20 kes, termasuklah 19 kematian sejak wabak ini bermula pada 2017.

Risiko dijangkiti rabies akibat gigitan anjing atau binatang lain di Sarawak adalah tinggi. Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak melaporkan 40 peratus daripada 1,000 anjing dalam negeri tersebut telah disahkan positif terhadap virus rabies.

You may also like