Pesakit, Pemandu Ambulan Hospital Slim River Maut Dalam Kemalangan

Tayar pecah dipercayai punca kemalangan.

KUALA LUMPUR, 5 Ogos — Seorang pesakit dan pemandu ambulan Hospital Slim River meninggal dunia apabila kenderaan itu terbabas dalam perjalanan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh ke Hospital Slim River.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Ding Lay Ming, kejadian kemalangan yang melibatkan ambulan hospital kerajaan tersebut berlaku di KM 368.3 Lebuh Raya Utara Selatan (Arah Selatan) sekitar jam 6.40 pagi semalam.

Seorang jururawat dan seorang pembantu perawatan kesihatan mengalami kecederaan ringan, manakala seorang doktor tidak mengalami sebarang kecederaan. 

“Punca kemalangan masih dalam siasatan oleh pihak berkuasa bagi mengenalpasti punca kejadian,” Dr Lay Ming berkata dalam satu kenyataan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Perak ingin mengucapkan takziah kepada kesemua mangsa dan keluarga yang terlibat dalam kemalangan ini.”

Bernama melaporkan polis berkata bahawa tayar pecah dipercayai punca kemalangan tersebut.

Pesakit wanita yang meninggal dunia dikenali sebagai Azizah Dolah, 66, manakala pemandu yang maut ialah Mohd Hafidz Mohd Bahari, 37.

“Siasatan awal mendapati tayar belakang kanan van ambulans yang dalam perjalanan daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini menghala ke Hospital Slim River berkenaan disyaki pecah menyebabkannya terbabas lalu melanggar penghadang tepi jalan dan terbalik di lokasi kemalangan,” Ketua Polis Daerah Muallim Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata dalam satu kenyataan.

Beliau dilaporkan berkata Mohd Hafidz mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Azizah maut disebabkan peralatan bantuan pernafasan tercabut dalam kemalangan.

You may also like