KUALA LUMPUR, 27 Jun — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang ramai untuk menghindari daripada empat produk kesihatan yang dicampur palsu dengan racun berjadual serta menyebabkan kesan yang mengancam nyawa.
KKM berkata Health Science Authority dari Singapura telah juga melaporkan kepada KKM bahawa terdapat premis yang menjual produk tersebut di Johor Baru.
Empat produk tersebut ialah BB Body, Bello Smaze, dan Choco Fit yang mengandungi sibutramine dengan kesan advers kadar dengupan jantung yang laju, masalah tidur tidak lena, mulut kering, serta rasa mual.
Produk Seahorse Chop Du Zhong Ba Ji Wan mengandungi dexamethasone, chlorpheniramine, dan frusemide dengan kesan advers pertambahan berat badan yang mendadak dan muka akan menjadi sembab (moonface).
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah, tiga operasi serbuan telah dijalankan pada 13 hingga 17 Jun di di 23 buah premis di sekitar bandaraya Johor Baru, tetapi produk-produk tersebut tidak dikesan dijual di premis berkenaan.
“Sekiranya ada pengguna yang sedang menggunakan produk BB Body, Bello Smaze dan Choco Fit, pengguna perlu menghentikan penggunaan produk tersebut dengan serta merta dan mendapatkan rawatan segera sekiranya bimbang dengan kesihatan mereka,” beliau berkata dalam satu kenyataan semalam.
“Pengguna yang sedang menggunakan produk Seahorse Chop Du Zhong Ba Ji Wan yang mengandungi steroid poten, pengguna disarankan agar segera berjumpa dengan doktor.
“Menghentikan steroid tanpa pengawasan perubatan yang betul boleh menyebabkan tanda-tanda pengunduran (withdrawal) yang serius seperti keletihan, kekeliruan dan tekanan darah rendah, terutamanya apabila produk telah diambil selama lebih dari beberapa minggu.”