KUALA LUMPUR, 5 Jun – Bayi Ainul Mardhiah yang menghidap kanser germ cell tumour di mulut menyambut Aidilfitri bersama ibu bapanya di London di mana dia mendapat rawatan.
Berita Harian melaporkan ibu bapa Ainul Mardhiah – Ahmad Safiuddin Ahmad Razak dan Nurul Erwani Zaini – menyambut hari lebaran di wad kanak-kanak sebuah hospital di kapital United Kingdom selepas anak mereka yang berumur sembilan bulan menjalani ujian perubatan yang pertama semalam.
Dr Nur Amalina Che Bakri, individu yang berusaha membawa Ainul Mardhiah untuk mendapatkan rawatan lanjut di London, dan ibunya, Sabariah Hassan, membawa juadah raya seperti nasi tomato berserta ayam masak merah ketika mereka mengunjungi Ainul Mardhiah.
Ibu bapa Ahmad Safiuddin, yang berumur 24 tahun, dan rakan-rakan serta warga Malaysia yang lain turut memberi kuih raya kepada pasangan tersebut apabila ibu bapa Ahmad Safiuddin membuat lawatan beberapa hari yang lalu.
Ainul Mardhiah dijangka berada selama 21 hari di London, bergantung kepada rawatan, sejak tiba di situ pada 24 Mei lalu.
Dr Amalina bersama sekumpulan pakar di United Kingdom dilaporkan bersedia membuat pembedahan terhadap Ainul Mardhiah yang dianggarkan berkos lebih RM1 juta.