Gejala Sesak Nafas Disebabkan Lebihan Sisa Toksik Di Sg Kim Kim

Pelajar dari lapan buah sekolah di Pasir Gudang mengalami sesak nafas dan muntah hari ini.

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Kejadian sesak nafas yang berlaku baru-baru ini di Pasir Gudang, Johor Baru, disebabkan lebihan daripada pembuangan sisa kimia beracun di Sungai Kim Kim yang belum dibersihkan sepenuhnya.

Berita Harian melaporkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata beliau telah dimaklumkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bahawa kontraktor yang dipertanggungjawab untuk membuat kerja penghapusan bahan kimia berkenaan tidak membersihkan kawasan terbabit secara 100 peratus selepas pembuangan sisa toksit di sungai tersebut bulan Mac lalu.

“Disebabkan hal itu, bahan kimia terbabit terbiar di Pasir Gudang sebelum merebak melalui angin dan hujan. Kita kena pastikan kerja membersih dan menghapuskan bahan kimia berkenaan harus dilaksanakan secepat mungkin.

“Pihak kementerian juga sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan JBPM pula memaklumkan mengenai hal ini kepada kerajaan negeri bagi memastikan bahan yang sepatutnya dilupuskan akan dilupus dengan baik,” Zuraida dilaporkan berkata kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Bernama melaporkan pelajar di lapan buah sekolah di Pasir Gudang mengalami sesak nafas dan muntah pagi tadi, selepas 15 orang, termasuk 13 pelajar, dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 pada hari Khamis lalu dirawat di hospital kerana sesak nafas.

Lapan sekolah tersebut yang dipercayai terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, SK Pasir Putih 1, SK Pasir Gudang 2, SK Taman Pasir Putih 1, SMK Taman Megah Ria, SK Taman Rinting 2, dan SMK Bandar Seri Alam.

Hampir 6,000 penduduk Pasir Gudang jatuh sakit disebabkan oleh pencemaran udara akibat pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim bulan Mac lalu yang juga menyebabkan penutupan sementara 111 sekolah.

You may also like