KUALA LUMPUR, 15 Mei — Seorang penolong pegawai kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah Seremban direman lima hari mulai hari ini kerana didakwa menerima rasuah sebanyak RM1,800 daripada dua pemilik restoran.
Berita Harian melaporkan penolong pegawai kesihatan itu didakwa menerima rasuah sebanyak RM400 daripada wakil pemilik Restoran Nasi Kandar Al-Buhari di Seremban, Shaik Rahman Mohamad Buhari, pada Disember 2017 untuk mengurangkan kadar kompaun terhadap dua pekerja yang melanggari peraturan kebersihan makanan.
Bagi kes kedua pada bulan yang sama, suspek didakwa menerima rasuah sebanyak RM1,400 daripada pemilik Restoran Kassim Dua Puluh Dua Puluh di Taman Permai 3 di Seremban, Mohamed Kassim Mohamed Sharip.
Rasuah itu dikatakan balasan untuk menyelesaikan kes mahkamah selepas gagal membayar kompaun ditetapkan kepada pemilik dan pekerja kerana melanggari peraturan kebersihan makanan.
Mahkamah majistret mengeluarkan perintah tahanan reman selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan suspek di Pejabat Kesihatan Daerah Seremban semalam.