KUALA LUMPUR, 28 Mei — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas produk bernilai sebanyak RM180,080 dalam serbuan ke atas klinik dan farmasi haram yang didalangi oleh pekerja asing warga Bangladesh.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata serbuan dijalankan pada 26 Mei selepas risikan ke atas dua buah premis di kawasan sekitar Lebuh Pudu dan Jalan Silang.
Kebanyakan produk dan ubat yang dirampas didapati telah diseludup dari Bangladesh dan India.
“Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, modus operandi mereka telah ditukar di mana produk-produk tersebut disorok, disimpan dan diselindungkan di tempat-tempat yang sukar diakses di sebalik pelbagai produk makanan dan barangan am termasuklah mengubah waktu operasi mereka dengan hanya lebih aktif pada hari minggu,” Dr Noor Hisham berkata dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
The Star telah melaporkan bahawa pekerja asing lebih suka melawat klinik dan farmasi yang didalangi warga Bangladesh kerana lebih mempercayai ubat dan doktor dari negara asal mereka. Fasiliti-fasiliti ini biasanya tidak menjual ubat kepada rakyat Malaysia.