KUALA LUMPUR, 23 Mei — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang awam hari ini untuk mengelak daripada membeli 12 produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual.
Produk krim muka tersebut mengandungi racun berjadual seperti chloramphenicol, sulfamethoxazole, trimethoprim, griseofulvin, metronidazole, ketoconazole, chlorpheniramine, hydroquinone dan tretinoin.
Produk yang mengandungi racuan berjadual tersebut perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
Satu krim muka yang disenaraikan oleh KKM mengandungi merkuri yang dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.
“Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.
“Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah kata dalam satu kenyataan hari ini.
Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepada [email protected]. Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA.