KUALA LUMPUR, 19 Mac — Seorang gadis lepasan STPM menangguhkan pelajarannya untuk membantu menyara keluarga selepas ayahnya menghidapi penyakit buah pinggang tahap empat.
Beliau melukis potret bagi menjana pendapatan untuk membiayai kos rawatan bapa yang mengalami kegagalan buah pinggang.
Nur Aisyah Muhammad Fairuz, 20, menawarkan RM30 untuk satu lukisan portret single dan RM50 untuk gambar berpasangan saiz A4.
“Sejak ayah tidak bekerja dan berada di Hospital Selayang, saya juga menjual makanan Takoyaki untuk tolong ibu saya,” Aisyah beritahu mStar Online.
Ibu Aisyah dilaporkan menguruskan jualan Takoyaki, tetapi kini mengambil tugas menjaga suaminya yang berumur 45 tahun, Muhammad Fairuz Saperi, yang tidak bekerja kerana perlu kerap menjalani rawatan.
Aisyah dilaporkan ingin melanjutkan pelajarannya dalam bidang seni lukis di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Alhamdulilah sambutan daripada pelanggan tidak menang tangan dan sekarang ini ramai yang dah order,” gadis itu dilaporkan berkata selepas menerima lebih 70 order melalui aplikasi WhatsApp apabila posting di Twitter tular.