Orang Asli Bateq Bimbang Pupus Macam Badak

Orang pertama yang meninggal dunia ialah Tok Batin Kampung Kuala Koh pada 25 Mei lalu.

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Orang Asli suku Bateq di Gua Musang risau komuniti mereka akan pupus selepas penyakit misteri membunuh 14 daripada mereka.

Sinar Harian melaporkan seorang penduduk Kampung Kuala Koh, Mamat Ong, berkata penduduk mahu berpindah ke tempat lain yang lebih selamat, tetapi tidak tahu ke mana harus dituju.

“Satu demi satu mati. Jika kejadian serupa ini berlaku di depan mata kamu, adakah kamu mahu tengok sahaja tanpa berbuat apa-apa?” Mamat dilaporkan memberitahu pemberita di Gua Musang semalam.

“Jika tiada tindakan daripada pihak berwajib secara drastik, komuniti kami akan pupus macam badak, tapir, gajah, rusa dan orang utan.”

Penghulu Orang Asli Mamat Pokok dilaporkan berkata orang pertama yang meninggal dunia dalam insiden-insiden ini ialah Tok Batin Kampung Kuala Koh, Hamdan Manis, pada 25 Mei lalu.

“Tiga hari kemudian anaknya pula, Romi Hamdan meninggal dunia. Ketika itu, kita tidak tahu penyakit ini bahaya dan boleh merebak kepada orang lain. Kita ingatkan Tok Batin mati kerana sakit biasa.

“Tapi bila anaknya juga meninggal dunia dan kemudian berlaku dalam kalangan ahli keluarga lain, kami mula tertanya-tanya,” Mamat berkata.

Mamat meminta pihak berkuasa untuk menjelaskan apa punca 14 kematian ini, sama ada ia ialah penyakit wabak yang berpunca dari sumber air atau dari sumber yang lain.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata semalam punca jangkitan bahagian pernafasan di Kampung Kuala Koh yang melibatkan 99 penduduk, lebih daripada setengah 185 penduduk, masih belum dapat dipastikan.

Dua Orang Asli daripada 99 penduduk tersebut telah disahkan meninggal dunia dari penyakit radang paru-paru (pneumonia), manakala 12 kematian dari suku Bateq lagi tidak dapat dipastikan kerana mereka telah dikebumikan di hutan.

You may also like