Tiga Lagi Kes Difteria Di Johor

Satu daripada kes ialah kakak kepada kanak-kanak lelaki yang telah mati dari difteria.

KUALA LUMPUR, 3 Mac — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan tiga lagi kes difteria di Johor setakat semalam.

Kes tersebut merangkumi seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga kakak kepada kanak-kanak lelaki yang telah mati akibat komplikasi jangkitan difteria bulan lalu.

Dua lagi kes difteria melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun — kedua-dua tinggal di rumah yang sama dengan kes kematian.

“Kesemua kes telah menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan stabil,” Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah kata dalam kenyataan hari ini.

“Satu kes telah dibenarkan pulang ke rumah manakala dua lagi kes masih dirawat di hospital. Sepuluh lagi kanak-kanak yang bergejala dan tinggal di rumah yang sama telah diberi rawatan dan telah disahkan bukan kes difteria.”

KKM menegaskan kepentingan pemberian imunisasi bagi mencegah penyakit berjangkit yang boleh dicegah oleh vaksin seperti difteria, demam campak (measles), batuk kokol (whooping cough) dan lain-lain.

You may also like