KUALA LUMPUR, 8 Jun — Ispire Technology Inc., sebuah syarikat vape yang berpangkalan di Amerika Syarikat, telah mempromosikan keupayaannya untuk menghasilkan pelbagai “perkakasan ganja” di fasilitinya di Senai, Johor.
Syarikat yang tersenarai di Nasdaq itu menyatakan bahawa peningkatan kadar tarif Amerika Syarikat ke atas barangan dari China baru-baru ini boleh menjejaskan keputusan operasi dan margin keuntungan kasar, kerana Ispire membeli majoriti produk vape nikotin dan ganja daripada Shenzhen Yi Jia, sebuah syarikat yang terletak di Shenzhen, China.
“Kami kini mampu menghasilkan pelbagai perkakasan ganja di Malaysia dan mengimportnya ke AS pada kadar tarif yang rendah berbanding barangan yang diimport dari China,” menurut laporan suku tahun yang berakhir 31 Mac 2025 dan difailkan dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC) pada 9 Mei lalu.
“Namun begitu, tiada jaminan bahawa kadar tarif semasa ke atas barangan dari Malaysia tidak akan dinaikkan semula ke kadar asal 24 peratus atau lebih tinggi. Sebarang lanjutan atau kenaikan tarif terhadap produk dari Malaysia atau China boleh memberi kesan material dan negatif kepada perniagaan, kedudukan kewangan dan hasil operasi kami.”
Ispire turut menyatakan kepercayaan bahawa perbezaan tarif antara China dan Malaysia memberi kelebihan daya saing dalam jangka masa pendek dan panjang kepada perniagaan perkakasan ganja mereka di AS.
“Walaupun kami tidak dapat pastikan bahawa perbezaan tarif ini akan kekal, ramai pelanggan telah mendekati kami untuk mempelbagaikan rantaian bekalan mereka keluar dari China dan ke Malaysia.”
Laman web Ispire menyifatkan syarikat itu sebagai “peneraju global dalam teknologi vaporiser”, menghasilkan vaporiser ganja di bawah jenama Ispire bagi barisan “vaporiser herba dan perubatan”, serta vape nikotin di bawah jenama Aspire.
Ispire menyatakan bahawa sehingga 5 Mei lalu, tarif ke atas kebanyakan produk buatan China yang memasuki AS adalah 145 peratus, berbanding tarif asal 24 peratus bagi semua barangan dari Malaysia di bawah pengumuman tarif Hari Pembebasan oleh Presiden Donald Trump pada 2 April.
Trump kemudiannya melaksanakan jeda selama 90 hari ke atas tarif kebanyakan negara kecuali China, dan memperkenalkan tarif rata 10 peratus bagi semua import bukan dari China ke AS.
Media antarabangsa melaporkan bahawa di bawah gencatan perdagangan yang dicapai bulan lalu di Geneva, Switzerland, AS telah menurunkan tarif ke atas barangan dari China daripada 145 peratus kepada 30 peratus. Tarif balas China ke atas barangan AS turut diturunkan daripada 125 peratus kepada 10 peratus.
Ispire Tidak ‘Mengendalikan Tanaman Ganja’, Menghasilkan ‘Terutamanya Produk Berkaitan Ganja’ di Kilang Malaysia
Menurut laporan suku tahun Ispire, syarikat vape tersebut kini menjual perkakasan vape ganja mereka di AS, Kanada, Afrika Selatan dan Jerman.
“Kami tidak ‘mengendalikan tanaman ganja’ dalam pengeluaran dan penjualan produk perkakasan kami dan oleh itu tidak tertakluk kepada peruntukan kawal selia dan percukaian khusus berkaitan ganja (contohnya, Seksyen 280E Kod IRS),” kata Ispire, merujuk kepada peruntukan dalam undang-undang cukai AS berkaitan perbelanjaan dalam penjualan dadah secara haram.
Syarikat vape nikotin dan ganja itu menambah bahawa produk mereka yang dijual di pasaran ganja global adalah dalam bentuk “kartrij yang diisi dengan minyak oleh pelanggan kami”.
Menurut pembentangan pelabur di Las Vegas pada April lalu yang dimuatnaik ke YouTube pada 6 Mei, Ispire menyatakan bahawa ia menghasilkan “terutamanya produk berkaitan ganja” di fasiliti pengilangan mereka di Malaysia yang mempunyai sehingga tujuh barisan pengeluaran.
“Kami ada satu barisan pengeluaran nikotin yang sedang beroperasi di sana sekarang,” tambah wakil Ispire.
Fasa kedua fasiliti Senai milik Ispire, yang dijangka memulakan pengeluaran pada suku ketiga tahun ini, dianggarkan mempunyai sehingga 80 barisan pengeluaran dan keluasan pengeluaran sebanyak 86,000 kaki persegi, dengan kapasiti pengeluaran keseluruhan sebanyak 61 juta peranti atau 107 juta pod sebulan.
Dalam satu kenyataan media pada Isnin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa kerajaan persekutuan telah mengeluarkan lesen interim pengilangan nikotin kepada Ispire untuk menghasilkan rokok elektronik dengan nikotin di kilangnya di Johor, bersama kelulusan pihak berkuasa tempatan.
Lesen tersebut, menurut KKM, telah dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Dalam pemfailan kepada SEC pada 22 Mei, Ispire mempromosikan lesen itu sebagai lesen pengilangan nikotin persekutuan yang pertama dan eksklusif di Malaysia yang membolehkan syarikat memulakan pengeluaran produk nikotin di negara ini serta-merta.
Namun, kenyataan KKM pada 2 Jun tidak menyebut bahawa Ispire turut menghasilkan vaporiser ganja di kilangnya di Johor yang telah mula beroperasi sejak Februari 2024.
Dalam siaran akhbar pada bulan tersebut, Ispire menyatakan bahawa pembukaan fasiliti pengilangan baharu bersaiz 31,000 kaki persegi yang diperakui ISO dan GMP di Malaysia bertujuan untuk mempercepatkan kemasukan pasaran bagi syarikat yang ingin mempertingkatkan barisan produk ganja dan nikotin mereka.
Akta Dadah Berbahaya Membenarkan Rampasan Peralatan Berkaitan Dadah
Malaysia mempunyai antara undang-undang dadah yang paling ketat di dunia, termasuk hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya (DDA) 1952. Ganja termasuk dalam senarai dadah terlarang di bawah Akta ini.
Seksyen 30 DDA memperuntukkan rampasan dan pelucuthakan bukan sahaja dadah berbahaya, tetapi juga “syringe, paip, lampu, peralatan, buku dan dokumen” yang mungkin digunakan dalam suatu kesalahan.
Tidak jelas sama ada menghasilkan peranti atau vaporiser berkaitan ganja adalah satu kesalahan di Malaysia sekiranya tanaman atau minyak ganja tidak dijumpai di premis.
Laporan suku tahunan Ispire yang berakhir 31 Mac mengandungi seksyen mengenai “risiko kawal selia”, tetapi perbincangan hanya tertumpu kepada AS dan Eropah; Malaysia tidak disebutkan.
CodeBlue telah meminta komen daripada MIDA mengenai lesen pengilangan nikotin yang diberikan kepada Ispire, termasuk sama ada agensi kerajaan itu sedar bahawa Ispire turut menghasilkan vaporiser ganja di fasilitinya di Senai.
CodeBlue juga bertanya kepada MIDA sama ada terdapat perubahan dasar kerajaan yang kini membenarkan syarikat, sama ada asing atau tempatan, menghasilkan produk berkaitan ganja di Malaysia untuk tujuan eksport.
Ispire Technology, yang berpangkalan di California, tidak menjawab soalan-soalan CodeBlue yang dihantar sejak 27 Mei, selain daripada pengesahan penerimaan emel oleh agensi PR mereka yang berpangkalan di New York pada 28 Mei.
Antara soalan CodeBlue kepada Ispire termasuk jenis kelulusan yang diterima dan daripada agensi kerajaan mana untuk menghasilkan produk ganja di kilang mereka di Senai, serta spesifikasi jenis produk ganja yang sedang dihasilkan di Malaysia.
Seorang individu yang menjawab panggilan telefon CodeBlue ke Ispire Malaysia Sdn Bhd di Senai pada hari Selasa enggan memberikan nama pengurus syarikat apabila diminta oleh CodeBlue, hanya menyatakan bahawa pengurus tersebut sedang “berada dalam mesyuarat”.
Artikel ini adalah terjemahan daripada artikel: Ispire Says ‘Currently Able’ To Manufacture ‘Wide Range Of Cannabis Hardware’ In Malaysia.

