
Mengenang isu Covid yang berlalu, teringat semasa impak mula-mula berlaku.
Masa itu, kami petugas kesihatan pun tak sangka keadaan tu akan jadi serius.
Bermulanya penutupan sempadan, kerja kami mula jadi perlahan kerana sibuk beri tumpuan kepada pandemik yang mendatang.
Masa itu aku di wad perubatan, kerja macam hari-hari biasa, cuma tak sangka impaknya akan jadi lebih teruk dari hari-hari biasa di wad.
Kami mula diberi “briefing” cara-cara pemakaian PPE dari Unit Kawalan Infeksi.
Masa ini, dua unit yang paling nampak menyerlah, Unit OSHA, dan Kawalan Infeksi.
Semua arahan akan datang dari dua unit ni, walhal dua unit paling terpencil dalam hospital.
Masa kami mula menerima impak dulu, hospital tak putus-putus terima pengumuman “purple code”, tanda pesakit Covid tiba di hospital. Bila kod diumumkan, semua laluan covid perlu dikosongkan.
Dalam sehari, ada 10-15 kes akan memasuki kawasan hospital. Masa proses deployment staf-staf ni, tak ramai yang mengeluh. Semuanya dilakukan serba-serbi sempurna dengan SOP yang dah dibuat.
Macam-macam pengorbanan staf dah dicurahkan atas dasar “sedia berkhidmat”. Masa ini, memang nampak semua staf bersatu, tak kira datang dari displin mana.
Yang dipuji, kemurahan hati rakyat-rakyat Malaysia yang tak putus-putus mendoakan usaha staf kesihatan, dan bukan itu sahaja, ada yang tak berhenti bagi makan setiap hari pada staf-staf kesihatan setiap petang.
Masa ni, nampak setiap rakyat Malaysia pegang slogan “Kita Jaga Kita”. Cuma yang sedihnya, hal kematian yang tak dijangka. Ramai pesakit tewas.
Dan yang tewas biasanya ada masalah kesihatan lain yang teruk. Darah tinggi dan kencing manis yang tak terkawal, ada penyakit lain yang menyebabkan Covid ini membunuh dengan segera. Setiap hari akan dengar kematian.
Yang paling kasihan, bila saudara-mara rapat tak dapat tengok kematian pesakit. Dan kami cuma mampu menangis dalam sut putih yang tebal.
Tak berhenti-henti peluh keluar dari badan ni, sampaikan ada staf kesihatan yang dapat tekanan darah tinggi, terus pergi ke kecemasan untuk rawatan lanjut.
Tak mampu nak gambarkan betapa teruknya masa tu, cuma kagum dengan semua personel-personal kesihatan yang tak berhenti bertugas. Walaupun ada satu dua yang mengeluh kerana penat.
Bila Program Imunisasi Kebangsaan bermula, baru nampak trend menurun masalah Covid ni. Kemasukan pesakit dah mula surut sedikit demi sedikit.
Masa ini, dah banyak masa kami boleh luangkan dengan keluarga. Ramai pesakit yang sihat dah mula beransur keluar dari hospital. Program “outsourcing” untuk bawa keluar pesakit yang sihat ke hospital-hospital kecil pun bermula, sebab memberi laluan pesakit yang lain yang lebih teruk untuk masuk ke hospital.
Masa ini, aku rasa dunia aku kecil sangat, sebelum ni asyik terperuk di dalam hospital yang sama. Di hospital-hospital lain, semua staf kesihatan bertungkus lumus melawan Covid ni.
Melawan dengan memberi penjagaan yang sempurna. Melawan dengan memastikan pesakit sentiasa sihat sehingga dapat pulang ke rumah. Itulah istilah lawan bagi staf kesihatan untuk pesakit.
Tapi itu semua dulu. Sekarang ni staf kesihatan cuma bola yang ditendang oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Macam-macam polisi mengarut dari pihak atasan, yang menyebabkan ramai staf angkat kaki dari kerajaan.
Kemudian bagi alasan syok sendiri kononnya staf mencari pendapatan yang lebih lumayan. Tak rasa pelik kenapa semua tinggalkan perkhidmatan kesihatan dalam kerajaan?
Ada fikir kenapa polisi-polisi baru sekarang menyebabkan ramai angkat kaki? Macam-macam bala menimpa semenjak Covid berlalu ni. Ya, hero-hero dulu yang diangkat, semuanya cabut lari sebab ada orang atasan yang syok sendiri.
Dan aku berdoa, takkan berhenti berdoa, bagi pihak kawan-kawan aku, orang-orang atasan yang zalim ni akan terima balasan, yang menyebabkan ramai kawan-kawan aku angkat kaki.
Yang kononnya mencari pendapatan tinggi, walhal semua kecewa sebab tak jaga kebajikan diri.
Semuanya rosak minda kerana polisi. Semuanya rosak dek kerana nak tunjuk kuasa. Dan buat siapa-siapa yang bertahan, aku doakan yang terbaik buat semua.
Teringat pula video Ejen Ali melawan Covid dengan DG Hisham. Bergenang air mata ni mengingatkan kawan-kawan yang berjuang bersama dulu. Semuanya dah pergi.
Levis berkhidmat sebagai jururawat di wad perubatan di sebuah hospital kerajaan di Lembah Kelang pada masa pandemik Covid-19, tetapi beliau sudah meninggalkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan sekarang bekerja sebagai seorang paramedik.
This article is part of a special CodeBlue series marking the fifth anniversary of the World Health Organization declaring Covid-19 as a global pandemic on March 11, 2020.

