Analisis SWOT Shif Pekerja Kesihatan 45 Jam Seminggu — Dr A.H.H.

Analisis SWOT oleh seorang doktor pakar menunjukkan ancaman besar dari sistem shif kerja 45 jam seminggu SSPA, merangkumi isu keselamatan pesakit dan potensi isu mediko-legal. Cadangan: 38 jam 30 minit (jumlah jam guna kerja mingguan waktu bekerja flexi).

Saya terpanggil untuk memberikan ulasan tentang kenyataan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad tentang waktu bekerja shif, “Jururawat Kerja 45 Jam Seminggu, Munasabah dengan Waktu Rehat, Hari Cuti1 di dalam beberapa siaran media bercetak dan berita. YB Menteri juga menyatakan jumlah jam kerja telah diturunkan dari sepatutnya 46 jam kepada 45 jam.1,2

Ulasan ini dibuat berdasarkan sejarah waktu bekerja rasmi kakitangan kerajaan sejak tahun 1974 hingga sekarang. Saya telah membuat analisis SWOT untuk sistem shif yang baru dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini yang menunjukkan ia tidak boleh diamalkan kerana impak yang besar kepada Pesakit, Organisasi, Penyelia, dan Jururawat pelaksana di lapangan.

Sejarah Waktu Bekerja Kerajaan 

Waktu Bekerja: Waktu bekerja kerajaan termaktub di dalam Perintah-Perintah AM Bab G 19743,4, Waktu Bekerja Biasa adalah 8.00 pagi hingga 4.00 petang bagi hari bekerja penuh.

Ia adalah 8.00 pagi hingga 12.45 tengah hari pada hari bekerja separuh, di mana jumlah hari bekerja adalah 5 hari penuh dan 1 hari separuh hari kerja (jumlah hari bekerja 5 hari setengah). 

Waktu rehat digariskan dengan jelas, iaitu 1 jam 15 minit. Jumlah jam bekerja termasuk rehat adalah 44 jam 45 minit. Hari rehat mingguan adalah cuma 1 hari.

Waktu Bekerja Bukan Pejabat: Waktu Bekerja Bukan Pejabat di dalam Perintah Am yang sama menetapkan jumlah jam bekerja sehari adalah 8 jam dan maksimum 12 jam3,4. Oleh itu, semasa zaman tersebut, anggota kerajaan yang bekerja bukan waktu pejabat perlu bekerja sebanyak 5 shif (8 jam) dan 1 shif (6 jam) untuk mencukupkan jumlah jam kerja. 

Jumlah jam bekerja waktu bukan pejabat termasuk rehat adalah 46 jam2. Waktu rehat ditetapkan 1 jam setiap shif dan boleh ditambah 15 minit jika difikirkan munasabah oleh ketua jabatan, tetapi waktu bekerja perlu ditambah 15 minit. Rehat mingguan adalah sama, cuma 1 hari2.

Penambahbaikan Waktu Bekerja: Waktu Bekerja Flexi

Pindaan Waktu Bekerja Pejabat telah dilakukan 12 kali4,5. Pada tahun 1998, Waktu Bekerja di namakan sebagai Waktu Bekerja Berperingkat (WBB).

Penambahbaikan menjadikan waktu bekerja pejabat ke 45 jam seminggu (5 hari bekerja dan 2 hari rehat). Manakala untuk waktu bekerja bukan pejabat, ia masih mengunakan asas yang sama.

Walau bagaimanapun, di KKM, waktu bekerja shif yang diamalkan menggunakan jumlah jam kerja mingguan 42 jam berdasarkan 8jam/ shif untuk 6 hari dan 1 hari rehat (saya tidak menjumpai puncakuasa ini). 

Sistem shif yang kemudiannya diamalkan adalah 7 jam (shif pagi dan petang) dan 10 jam (shif malam), mencukupkan 42 jam bekerja bagi memudahkan jadual kerja dan pergerakan pergi balik kakitangan. Ini memudahkan penyelia dan juga jururawat, pembantu perubatan, serta pembantu perawatan kesihatan bekerja.

Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga telah menambahbaik waktu bekerja pejabat (WBB) kepada Waktu Bekerja Flexi (WBF)melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia 2022. Penambahbaikan yang lain adalah untuk waktu bekerja bulan Ramadhan.

Walau bagaimanapun, Waktu Bekerja Shif kekal dan tidak ada penambahbaikan seperti mana Waktu Bekerja Flexi (WBF).

Isu Tidak Cukup 3 Jam Kerja Bagi Petugas Perubatan Dan Kesihatan KKM Yang Bekerja Shif

Apabila Waktu Bekerja Pejabat ditetapkan 45 jam, maka telah timbul isu tentang petugas kesihatan kerajaan bekerja shif telah bekerja tidak cukup 3 jam, mengikut jumlah jam rasmi Pekeliling Kerajaan. Oleh itu, waktu bekerja shif telah diperpanjangkan kepada 45 jam5 di dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Keputusan ini adalah tidak adil kepada pekerja-perkerja bidang perubatan dan kesihatan yang bekerja shif. Ilustrasi-ilustrasi dan bukti di atas telah menunjukan berlaku ketidakadilan dari pengiraan jumlah jam kerja mingguan yang berlarutan dari tahun 1980 yang tidak diperbetulkan.

Analisis SWOT Untuk Waktu Bekerja Shif Petugas Perubatan Dan Kesihatan 45 Jam Seminggu 

KKM boleh melakukan analisis SWOT untuk system baru ini. Berdasarkan analisis yang saya lakukan, sistem ini mempunyai kelemahan dan ancaman yang besar kepada Pesakit, Organisasi, Penyelia, dan Pelaksana.

Sistem yang baru hanyalah memberi kekuatan kepada organisasi menyeragamkan jumlah kerja bekerja kepada 45 jam dan mengurangkan implikasi tuntutan kerja lebih masa. Kekuatan kepada pelaksana hanya jika waktu rehat itu memang boleh diambil seperti digariskan.   

Mengambilkira proses kerja semasa shif di kecemasan, wad, dan ICU, saya sangat pasti yang ia tidak dapat diamalkan.

Walau bagaimanapun, kelemahan dan ancaman sistem baru ini sangat besar. Kelemahan dan ancaman ini merangkumi isu keselamatan pesakit (patient safety) dan potensi isu mediko-legal. 

Pesakit akan terjejas kerana potensi risiko dirawat oleh petugas yang lesu dan penat. Selain itu, pesakit-pesakit yang berubah keadaan di dalam wad kemungkinan tidak dihadiri segera oleh perawat kubikel kerana pada waktu itu, perawat berehat rasmi seperti di dalam jadual.

Prosedur-prosedur perubatan dibuat sebilang waktu di wad. Ada prosedur yang dijadual dan ada secara kecemasan. Prosedur-prosedur ini berpontensi terganggu dengan sistem shif yang baru dengan adanya jadual rehat rasmi di dalam jadual tersebut.

Aduan awam pastinya lebih tinggi kerana staf yang penat dan terbeban lebih cenderung untuk mengalami kelesuan fizikal dan mental dan menjadi tidak mesra dan tertekan.

Selain itu, ia juga menjadi ancaman kewangan kepada pelaksana kerana beban bayaran rumah asuah yang lebih tinggi dan bayaran kenderaan awam yang mahal lewat malam. 

Ketua Eksekutif Majlis Jururawat Antarabangsa (International Nursing Council) juga memberikan pandangan bahawa memperpanjangkan masa jam kerja jururawat adalah bahaya untuk pesakit dan boleh meningkatkan lagi penghijrahan jururawat terlatih negara ini keluar.6

Cadangan Penyelesaian: Kiraan Jam Kerja Yang Setara – Jumlah Jam Guna Kerja Mingguan WBF 38 Jam 30 Minit 

Asas untuk keadilan dan kesaksamaan adalah menggunakan pembolehubah baru yang sama. Pembolehubah yang digunakan di dalam SSPA ini adalah Waktu Bekerja Flexi, iaitu 45 jam seminggu untuk 5 hari bekerja.

Saya mencadangkan agar pembolehubah dimalarkan yang sepatutnya digunakan adalah JUMLAH JAM GUNA KERJA MINGGUAN WBF, iaitu 38 jam 30 minit untuk kedua-dua waktu bekerja. Ini akan menyetarakan jumlah jam bekerja untuk yang bekerja flexi dan bekerja secara shif. 

Dengan menggunakan jumlah jam guna kerja mingguan ini, penyelia-penyelia boleh menjadikan kepada jadual shif-shif yang lebih baik. Waktu rehat untuk shif tidak tertulis di dalam jadual kerja harian shif kerana perawatan di unit kecemasan, wad, dan rawatan rapi adalah satu proses yang berterusan sepanjang shif.  

Cadangan ini, pada saya, sangat boleh dilakukan kerana untuk jadual kerja flexi (WBF) sepenjang bulan Ramadhan waktu rehat 1-2 petang BOLEH TIDAK DIAMBIL jika pegawai memilih WBF Ramadhan untuk pulang awal pada jam 4 petang. 

Dengan menggunakan Jumlah Jam Guna Kerja yang sama, insha-Allah, setiap petugas kesihatan pastinya akan memberikan perkhidmatan yang lebih optimum kepada masyakarat. Ia adalah SITUASI MENANG-MENANG di dalam Perkhidmatan Kesihatan Kerajaan.

Penutup

KKM dan JPA perlu mengkaji semula perlaksanaan sistem shif di dalam SSPA, khususnya untuk sektor perubatan dan kesihatan. Ini kerana penambahan waktu kerja mingguan ini tidak munasabah. 

Masukan-masukan dari pelaksana-pelaksana dan bukti-bukti kesihatan pekerjaan perlu digunakan di dalam membuat dasar jumlah jam kerja bagi sektor perubatan dan kesihatan. 

Perkara ini sangat perlu dinilai secara insan seperti digariskan di dalam Madani. Petugas-petugas kesihatan, sama ada shif atau bukan shif, memerlukan sistem jam kerja yang lebih insan, berkebajikan selaras dengan tanggungjawab, beban tugas, dan liabiliti mediko-legal yang ditanggung.

Rujukan

  1. Waktu kerja jururawat KKM 45 jam seminggu munasabah, November 21, 2024, Malaysia Gazette.
  2. Jururawat kerja 45 jam seminggu, Menteri kata munasabah dengan waktu rehat, hari cuti, November 21, 2024, Berita Harian.
  3. Perintah AM Bab G 1974.
  4. Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusi versi 1 2022.
  5. Pekeliling Perkhidmatan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam 2024.
  6. Extra hours for nurses may worsen staff shortage, warns global nursing group, November 24, 2024, Free Malaysia Today.

Penulis ialah seorang doktor pakar yang bekerja di sebuah hospital kerajaan di Lembah Kelang. CodeBlue memberi kerahsiaan kepada penulis oleh sebab penjawat awam tidak dibenarkan menulis kepada pihak media.

  • This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of CodeBlue.

You may also like