Saya merupakan salah seorang staf di Klinik Universiti Malaya (UM), mewakili sebahagian staf Klinik UM, di mana kami melihat ada diskriminasi dan juga “modern slavery” terhadap pegawai perubatan kami di klinik ini.
Perkara di atas adalah merujuk kepada tugas lebih masa yang dimana kami mendapati bahawa hanya pegawai perubatan kami sahaja yang tidak diberi elaun kerja lebih masa, seperti yang telah diberikan kelulusan Januari 2023 pada tahap pendaftar.
Berdasarkan Kertas Cadangan “Pengoperasian Klinik Universiti Malaya” oleh ketua Klinik UM, ada termaktub bahawa terdapat penetapan bahawa Klinik UM perlu dibuka dari 8 pagi sehingga 10 malam pada Isnin hingga Jumaat, dan juga 8 pagi sehingga 1 petang pada hari Sabtu dan Ahad, kecuali waktu cuti umum.
Sebagai gambaran beban tugas yang diberikan kepada doktor kami, Klinik ini merawat bukan sahaja pelajar Universiti Malaya, malah merawat pekerja Universiti Malaya serta tanggungan mereka. Sehari, kami mempunyai anggaran 80 hingga 150 pesakit satu hari, kecuali pada Sabtu dan Ahad.
Selain daripada itu, kami juga perlu melakukan tugasan luar seperti “medical standby” untuk program yang diadakan di Universiti Malaya, medical check-up pelajar baru dan memberi respon kecemasan kepada kes-kes yang berlaku di dalam Universiti Malaya.
Semua peringkat pekerjaan – staf admin, pembantu perawatan kesihatan (PPK), medical assistants (MA), staff nurse (SN), penolong pegawai farmasi, juru makmal, dan juru X ray – menikmati elaun kerja lebih masa. Malah doktor lokum juga diberikan elaun sebanyak RM50 sejam pada waktu kerja 5 petang hingga 10 malam.
Tetapi pegawai perubatan kami sendiri hanya diberikan gantian waktu kerja. Lebih menyedihkan lagi, mereka hanya dapat menuntut cuti sehari (8 jam) apabila bekerja dua hari (10 jam) waktu luar pejabat; bagaimanapun, waktu selebihnya akan burn (2 jam).
Saya, mewakili suara kecil untuk kepentingan doktor-doktor saya di Klinik UM, telah membuat aduan Sispaa. Namun melihat kepada keputusan Sispaa, hanya teguran kepada ketua klinik sahaja yang diberikan; tiada maklumat mengenai penambahbaikan elaun kepada doktor kami.
Walaupun selepas Sispaa dijalankan, kami melihat masih lagi ada arahan untuk doktor kami bekerja luar waktu pejabat untuk “medical standby” bagi program-program Universiti Malaya yang boleh sampai pukul 12 tengah malam dan hanya diberikan “claim hours“.
Ini sangatlah tidak adil dan juga tidak berperikemanusian kerana seolah-olah doktor kami ini adalah robot yang tidak mempunyai tanggungan keluarga, anak kecil, dan juga kos sara hidup yang semakin meninggi.
Cuba bayangkan perasaan doktor kami apabila semua orang, kecuali mereka, mendapat elaun untuk kerja lebih masa. Keadaan lebih keruh apabila doktor lokum kami yang merupakan doktor luar – ada daripada mereka memiliki klinik sendiri (bermaksud mempunyai pendapatan yang lebih lumayan) – juga mendapat elaun ini.
Kami diberikan pelbagai alasan daripada pengarah klinik mengapa doktor kami tidak dibayar elaun lebih masa. Antara alasan berikut adalah:
- Doktor kami tidak mahu membuat kerja lebih masa: ini adalah satu kenyataan yang sangat tidak benar kerana doktor kami sangat berdedikasi dan sanggup menjalankan tugas dengan baik walaupun tidak dibayar elaun. Malah, kami tidak pernah menggunakan khidmat lokum untuk “medical standby” dan “medical check-up“.
- Pihak atasan tidak meluluskan: jabatan tenaga ihsan adalah di bawah pendaftar dan kelulusan pendaftar diperlukan oleh jabatan ihsan.
- Salah seorang doktor kami membuat panggilan dan jawapan yang diberikan adalah pihak atasan berkata doktor kami tidak perlu kerja lebih masa, jadi elaun tersebut dibatalkan. Namun begitu, doktor kami tetap diberikan tugasan lebih masa walaupun permintaan itu “last minute” dan tidak bersifat kecemasan.
Kami hairan kerana pusat kesihatan lain – seperti di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), klinik kesihatan sekitar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Utara Malaysia (UUM), dan lain-lain – memberikan elaun ini kepada doktor mereka.
Kenapa klinik kami yang mewakili universiti utama di Malaysia tidak? Bukankah semua universiti awam di bawah satu kementerian?
Kami melihat doktor kami semakin kurang bersemangat, malah ada yang memikirkan untuk mencari kerja di tempat lain, terutama di luar negara. Ini kerana kami pernah melihat slip gaji doktor kami yang dibayar mengikut kadar UD; sangat menyedihkan apabila melihat salah seorang daripada mereka membawa pulang kurang dari RM5,000 sebulan.
Bukankah kerajaan ingin menangani isu “brain drain“? Namun keputusan dari Sispaa menunjukkan kerajaan kurang serius dalam menangani isu ini dan saya khuatir kami akan kehilangan doktor yang berkualiti yang akan memberi impak negatif kepada servis khidmat kesihatan warga Universiti Malaya.
Saya berharap CodeBlue sanggup menjadi suara kami kerana kami tidak mahu kehilangan doktor-doktor yang sangat berdedikasi dan berkualiti dari Klinik UM.
Malah kami mendapati sistem aduan Sispaa tidak memberikan impak yang lebih baik. Ini terbukti di mana kerajaan hanya akan bergerak dengan lebih pantas apabila pihak media terlibat.
Penulis diberikan kerahsiaan oleh CodeBlue kerana penjawat awam tidak dibenarkan menulis kepada pihak media.
- Ini adalah pendapat peribadi penulis atau penerbitan dan tidak semestinya mewakili pandangan CodeBlue.

