Kisah Perjalanan Bekas Pesakit IJN Pesara Kerajaan (PDRM VAT69) Ke Hospital KKM: Masih Ada Lagi Yang Kisah? — Najib Hj Jaafar

“Ayah saya tidak perlu kembali mendapat rawatan susulan semula di IJN sekiranya tiada kes serius, tetapi yang beliau sangat inginkan adalah bekalan ubat berterusan dari IJN; rawatan boleh dipindah rawat di hospital KKM” — anak pesara kerajaan (PDRM VAT69).

Tujuan matlamat saya menulis artikel ini untuk disiarkan di portal berita kesihatan CodeBlue adalah untuk memperlihatkan perjalanan kisah sebenar dan memberikan sedikit input untuk semua pihak-pihak yang berkepentingan untuk melihat isu ini dengan lebih serius lagi, serta membuat penambahbaikan di mana-mana yang perlu sekiranya terdapat keperluan yang segera untuk kebaikan semua pihak.

Tiada unsur-unsur untuk memperlihatkan kelebihan, kelompongan, dan kekurangan di mana-mana pihak. Coretan ini lebih kepada keluhan serta suara hati bekas pesakit Institut Jantung Negara (IJN) di kalangan pesara kerajaan secara umumnya.

Kita mulakan kisah dengan perjalanan awal ayahanda saya dari hospital KKM ke IJN. Ayahanda saya yang berumur 77 tahun sekarang merupakan salah seorang antara wira negara yang tidak didendang.

Beliau telah berkhidmat di dalam pasukan sang saka biru (PDRM), bermula dari bahagian unit PPH (Pasukan Polis Hutan), Komando VAT69, sehingga ke akhir perkhidmatan tugasan di unit Polis Trafik dan pencen sebagai “Tok Jen”, orang panggil, atau pangkat Sarjan secara amnya.

Polis dan Rakyat Berpisah Tiada” dan “Warisan Darah Perwira” merupakan simbolik kepada keutuhan dan kegemilangan unit beruniform ini yang menjadi salah satu nadi penting di dalam jaringan jaminan keselamatan dan kemakmuran di negaraku Malaysia dari dahulu awal penubuhannya sehingga lah sekarang dan sampai bila-bila.

Kita mulakan kisah perjalanan tersebut.

The National Heart Institute (IJN) in Kuala Lumpur. Photo by Saw Siow Feng for CodeBlue, taken on February 23, 2024.

Pada tahun 2019, ayahanda saya telah mengalami komplikasi jantung yang serius. Beliau mendapat rawatan awal di sebuah hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Melaka, seterusnya dipindahkan kes untuk rawatan susulan yang lebih lanjut di IJN (Kuala Lumpur).

Dengan kepakaran doktor-doktor dan jururawat IJN serta semua yang terlibat dalam menjayakan pembedahan jantung terbuka ayahanda saya pada tahun yang sama, Alhamdulillah, ayahanda saya kembali ceria dengan kesihatan jantung yang lebih baik sehingga ke hari ini dengan rawatan susulan dan ubatan yang diperolehi daripada IJN.

Terima kasih kepada pihak kerajaan, KKM, IJN, semua ahli keluarga, dan sanak saudara yang sangat prihatin serta telah memberikan bantuan dari segi kewangan, sokongan mental dan emosi, dan sebagainya.

Pada tahun 2020 sehingga 2022, negara kita Malaysia dan seluruh dunia terkesan dengan penularan wabak Covid-19. Di dalam sektor kesihatan, kerajaan Malaysia bersama-sama dengan rakyat jelata secara keseluruhannya telah berjaya dengan jayanya mengekang dan mengawal penukaran wabak ini dengan langkah-langkah perlaksanaan kawalan yang efektif dan berkesan demi menjaga kemaslahatan, keselamatan nyawa, dan kesihatan seluruh rakyat Malaysia sehingga kini, termasuklah ayahanda saya.

Ubat-ubatan tidak pernah terputus daripada IJN walaupun terdapat kekangan yang tidak dapat dielakkan, seperti mendapatkan rawatan susulan terus bersama dengan doktor pakar di IJN.

Pada tahun 2023, negara kita telah bebas dari wabak Covid-19 dan bermula fasa Post-Covid, pemulihan sektor ekonomi, aktiviti serta urusan kehidupan rakyat dan lain-lain berjalan seperti biasa; tetapi di dalam keadaan yang luar dari biasa dengan adanya pemantauan secara berterusan oleh pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia yang akan sentiasa bersiap-siaga dalam mendepani cabaran ke hadapan yang ada.

Pada tahun yang sama juga (2023), dengan pembukaan semula perkhidmatan secara terus, khususnya di IJN kepada semua pesakitnya yang berada di seluruh Malaysia, ayahanda saya telah mendapatkan rawatan susulan buat pertama kalinya selepas post-Covid.

Servis dan perkhidmatan yang berikan oleh pihak IJN sentiasa tip-top and well prepared, sentiasa menjaga keselamatan semua para petugas dan pesakit yang berada di IJN.

Walau bagaimanapun, ada sedikit hiccup yang mungkin tidak dapat dielakkan pada hari itu, dari segi penyelarasan nombor pendaftaran dan giliran menunggu kepada pesakit kerana sistem panggilan nombor secara elektronik tidak berfungsi dengan baik.

Namun begitu, thumbs-up saya berikan kepada para petugas perkhidmatan IJN pada ketika itu yang mengawal keadaan dengan baik sekali, walaupun pesakit-pesakit yang ada temujanji pada hari itu terpaksa menunggu lebih lama dari biasa.

Tidak disangka pula pada hari yang sama, juga ada berita sedih yang menanti apabila sampai ke giliran ayahanda (saya ada bersama) berjumpa doktor pakar yang sama semenjak mula-mula dirawat.

Di akhir sesi pemeriksaan rutin itu, perbualan kami terhenti dengan berita pemakluman di mana ayahanda saya tidak lagi boleh menerima rawatan lanjut berserta ubat-ubatan dari IJN, berdasarkan status terkini ayahanda saya yang stabil serta mengikut pekeliling arahan yang sedia-ada oleh pihak kerajaan (KKM).

Dengan rasa marah serta hiba, saya bagi pihak ayahanda saya menandatangani satu surat rasmi discaj yang dikeluarkan oleh pihak IJN dan menerima dokumen-dokumen sokongan untuk berurusan lanjut untuk mendapatkan rawatan susulan dan ubat-ubatan ayahanda dipindahkan ke Hospital Jasin, Melaka. (Ayahanda menetap di Melaka).

Kaunter pendaftaran di klinik pakar di Hospital Jasin, Melaka, pada 19 Mei 2023. Gambar oleh Najib Hj Jaafar.

Secara ringkasnya, ini adalah kronologi pemindahan rawatan dan pendaftaran ayahanda saya dari IJN ke hospital KKM: IJN (Kuala Lumpur) ke Hospital Jasin (Melaka), dan berakhir di Pusat Jantung Hospital Serdang (kini dikenali sebagai Hospital Sultan Idris Shah – HSIS).

Proses di atas mengambil masa lebih kurang satu tahun sebelum ayahanda saya selesai mendapatkan rawatan susulan pertamanya pada awal tahun ini (2024) di HSIS.

Alhamdulillah, saya dapat berurusan dengan pihak IJN dan pihak HSIS demi memastikan jadual rawatan tidak terhenti dan berterusan serta keperluan ubat-ubatan ayahanda saya tidak terputus, walaupun ubat-ubatan di IJN tidak sama dengan ubat-ubatan di hospital KKM meskipun dosnya sama (ubat generik) dan dari lain-lain sudut pemahaman saya.

Jika ditanya tentang perjalanan saya dalam urusan pemindahan ini, adakah ianya mudah dan seperti mana yang kita harapkan, terutamanya buat pesakit jantung? Jawapannya – tidak mudah seperti yang disangka jika kita melihat dari sudut prosesnya (segala urusan), masa yang perlu diluangkan, kos kewangan yang berkait, emosi, dan tahap kesihatan pesakit dan lain-lain.

Proses ini saya lalui tanpa melibatkan ayahanda saya bersama di atas faktor-faktor memudahkan perjalanan segala urusan serta keselamatan dan kesihatan ayahanda saya.

Soalan seterusnya jika ditanya, kemampuan setiap pesakit jantung secara amnya untuk melalui proses ini sendirian tanpa dibantu-urus secara bersama oleh ahli keluarga lain? Jawapan jujur dari saya, saya tiada jawapannya kerana setiap pesakit mempunyai tahap kesihatan, emosi, dan kewangan dan lain-lain yang berbeza.

Tetapi setiap seorang individu yang bergelar anak WAJIB berkhidmat secara tulus dan ikhlas, khususnya kepada mak dan ayah mereka. Kerana apa? Tanpa mereka serta pengorbanan yang telah dicurahkan oleh mereka kepada kita, tiada tolok bandingnya dan tiadalah kita dan siapalah kita dengan apa jua status kita berada sekarang ini.

Di akhir coretan artikel ini, saya – dengan rasa penuh tanggungjawab sebagai salah seorang rakyat Malaysia yang mempunyai kebebasan dan hak bersuara – ingin memberikan serba sedikit saranan penambaikan yang perlu dilihat dengan serius dan dilaksanakan oleh pihak IJN, KKM, HSIS, dan semua pemegang taruh serta amanah yang terlibat dalam urus tadbir sistem kesihatan di negara Malaysia tercinta.

Najib Hj Jaafar di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Unit Taksiran Khas Institut Jantung Negara (IJN) pada 15 Jun 2023 apabila berurusan dengan mereka untuk cuba daftarkan semula ayah beliau sebagai pesakit di IJN dengan surat referral dari Hospital Jasin, Melaka, namun beliau tidak berjaya. Gambar oleh Najib Hj Jaafar.

PERTAMA – servis perkhidmatan secara keseluruhannya, bermula dari proses pendaftaran sehingga ke akhir proses yang sedia ada, mesti ditambah baik dari masa ke semasa dan ditambah nilai dengan pelaksanaan proses bersesuaian yang lebih progresif, efektif, dan berkesan.

KEDUA – penyampaian maklumat dan informasi tentang discaj dari IJN kepada pesakit-pesakit jantung yang terlibat mesti dibuat dengan lebih awal dan lebih sistematik, beserta dengan maklumat yang lengkap dan menyeluruh dari proses dicaj di IJN sehingga pendaftaran baru di hospital KKM yang telah ditetapkan berdasarkan alamat tinggal terkini pesakit.

KETIGA – perkongsian dan pemindahan maklumat pesakit IJN untuk serahan kepada hospital KKM perlu dilihat semula keberkesanan proses-proses libat urus yang ada supaya ianya dapat memudahkan urusan pihak hospital KKM dan juga pesakit.

Dengan adanya teknologi terkini dan perkongsian maklumat dalam satu pusat pangkalan data kesihatan yang berpusat dengan akses sekuriti yang ketat, capaian dan perkongsian maklumat pesakit lebih mudah ditadbir urus dan semak guna oleh pihak IJN dan hospital KKM.

KEEMPAT – jika ditanyakan kepada ayahanda saya adakah dia ingin kembali semula sebagai pesakit berdaftar dan mendapat rawatan susulan semula di IJN? Tidak perlu sekiranya tiada kes kesihatan yang serius dan mendesak, TETAPI yang beliau sangat inginkan adalah bekalan ubat-ubatan yang berterusan dari IJN; rawatan boleh dipindah rawat di hospital KKM.

Ini adalab sebab ubat-ubatan itu sahaja yang telah sebati dan diterima baik oleh sistem badan beliau sejak sekian tahun diambil secara konsisten. Analogi ringkasnya – apabila seseorang sakit, contoh demam, dia akan mencari ubat itu sahaja walaupun ada ubat-ubat yang lain.

Kesan pengalaman dan rasa penyembuhan yang efektif dari segi saintifik dan alami itulah yang membuatkan dia berkeyakinan dan terus mengambil ubat yang sama dengan rasa selamat sebagai ikhtiar untuk kembali sihat dan solusi kepada masalah kesihatannya bila diperlukan.

KELIMA DAN TERAKHIR – ucapan ribuan terima kasih dari pihak keluarga saya kepada pihak kerajaan, khususnya dengan semua bantuan kewangan dan lain-lain kelebihan yang diberikan kepada semua pesara kerajaan yang berhak menerima hak mereka.

Najib Hj Jaafar di Pusat Jantung Hospital Serdang, apabila ayah beliau daftar sebagai pesakit baru di Hospital Sultan Idris Shah Serdang (HSIS) pada 16 Jun 2023, dengan surat referral dari Institut Jantung Negara (IJN) dan dapatkan tarikh temujanji dengan doktor. Temujanji pertama dengan doktor pakar di HSIS diadakan pada 9 November 2023. Temujanji kedua dijadualkan pada 24 Mei 2024. Gambar oleh Najib Hj Jaafar.

Ucapan terima kasih yang tidak berbelah bahagi dari kami sekeluarga juga kepada pihak IJN, hospital KKM, dan semua frontliner negara di dalam industri kesihatan negara. Anda semua juga adalah wira negara.

Oleh itu, laksanakanlah tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan penuh keikhlasan berserta integriti yang tinggi demi menyantuni seluruh rakyat Malaysia yang memerlukan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang terbaik di negaraku Malaysia.

Ucapan terima kasih juga saya inginkan panjangkan kepada pihak CodeBlue kerana sudi secara bersama untuk menyampai denyut nadi pesakit jantung pesara kerajaan, khususnya dari bekas anggota PDRM (VAT69) kepada pihak-pihak berwajib yang mempunyai kepentingan di dalam rangkaian jaminan keselamatan dan kesihatan negara.

Akhir coretan saya – “Tango Kilo AMAN 1: Anggota berserta seluruh ahli keluarga sang saka biru sentiasa bersama barisan darah perwira demi agama, bangsa dan negaraku Malaysiaku yang tercinta! Kesejahteraan dan keamanan negara adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia untuk mempertahankannya”.

Najib Hj Jaafar menetap di Kajang, Selangor.

  • Ini adalah pendapat peribadi penulis atau penerbitan dan tidak semestinya mewakili pandangan CodeBlue.

You may also like