‘Tanpa Selcare, Saya Mungkin Sudah Tiada’

Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor telah membiaya kos pembedahan pintasan jantung (bypass) di IJN sebanyak RM55,000 bagi seorang pesakit berusia 43 tahun. “Tanpa Selcare, saya mungkin sudah tiada”.

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Tiga tahun lalu, Anbananthan Palanipa Kaunder, yang berusia 43 tahun dan bapa kepada lima orang anak, kehilangan pekerjaan sebagai pemandu lori kerana didapati menghidapi penyakit jantung.

Kini, isterinya menjadi pencari nafkah utama keluarga, dengan gaji RM1,600 sebulan di sebuah kilang.

Anbananthan telah didiagnos dengan penyakit jantung pada Jun 2020. Pada awalnya, beliau cuba mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta menggunakan insurans. Namun, tuntutan insurans itu ditolak kerana beliau tidak membayar premium selama dua tahun. Oleh itu, beliau tidak dapat menggunakan insurans tersebut.

Anbananthan cuba mendapatkan rawatan di Hospital Selayang, Selangor semasa pandemik Covid sedang memuncak. Walaubagaimanapun, beliau dirujuk pula ke Institut Jantung Negara (IJN) dimana ia didapati layak untuk disertakan dibawah Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor. Skim ini dikendalikan oleh pentadbir pihak ketiga (third party administrator) (TPA) milik kerajaan negeri iaitu Selcare Management.

Sebagai penerima Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor, Anbananthan berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan oleh doktor secara berkala dan menerima ubatan daripada IJN setiap tiga bulan.

Pada Jun 2023, Anbananthan dibedah di IJN bagi pintasan jantung (heart bypass). Pengraftan arteri (artery grafting) dilakukan ke atas jantung beliau. Susulan pembedahan tersebut, beliau menjalani pemeriksaan lanjut setiap enam bulan di hospital swasta ini, yang meliputi ujian darah, imbasan, konsultasi, dan ubat-ubatan.

“Saya kini mengambil enam jenis ubat yang berbeza, termasuk pencair darah. Pemeriksaan seterusnya adalah pada bulan Jun, dan saya berharap untuk terus menerima sokongan kewangan bagi rawatan ini.

“Tanpa Selcare, saya mungkin tidak bernyawa lagi. Tidak mungkin saya mampu menanggung kos pembedahan sebanyak RM55,000,” Anbananthan memberitahu CodeBlue dalam satu temu bual.

“Sebelum pembedahan, setiap konsultasi doktor dan ubat-ubatan menelan kos lebih RM1,000. Selepas pembedahan ianya menjadi lebih mahal. Pemeriksaan pasca-pembedahan sahaja berjumlah hampir RM3,000.

“Harapan saya hanyalah untuk terus mendapat rawatan dan penjagaan daripada Selcare. Bagi keluarga B40 seperti kami, apakah pilihan yang kita ada?”

Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor melindungi ahli Iltizam Selangor Sihat (ISS) yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan dengan perkhidmatan saringan jantung, prosedur pembedahan, dan rawatan susulan sebanyak dua kali. Perlindungan bagi keseluruhan rawatan dihadkan sehingga RM50,000.

Bagi yang bukan ahli ISS yang berpendapatan sehingga RM8,000 sebulan, Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor membiayai prosedur pembedahan sehingga RM50,000.

Proses Iltizam Selangor Sihat Mudah dan Jelas

Penerima Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor di sebuah majlis, disaksikan oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. Foto oleh Selgate Group of Companies.

Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada November lepas, kerajaan negeri Selangor memperuntukkan RM59.7 juta bagi tujuan kesihatan awam. Jumlah ini termasuklah program-program ISS, Bantuan Sihat Selangor, Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor, dan Ilitizam Selangor Sihat Penjawat Awam (ISSPA).

Selcare Management Sdn Bhd – sebuah subsidiari Selgate Healthcare di bawah Selgate Corporation yang dimiliki oleh kerajaan Selangor – dipertanggungjawabkan untuk memastikan individu-individu yang layak, menerima manfaat daripada pelbagai program kesihatan negeri.

Ng Peng Soon, 55, tinggal bersama dua orang anaknya yang masih belajar di universtiti. Beliau juga sedang menjaga ayahnya yang tua. Menerusi program ISS, Ng berupaya mendapat rawatan perubatan yang diperlukan daripada klinik swasta, walaupun beliau tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

Sudah hampir setahun Ng menerima sokongan daripada ISS. Program ini menyediakan perlindungan sehingga RM70 untuk setiap lawatan ke doktor. Sekiranya perlu, pesakit akan menambah wang sendiri kepada jumlah ini bagi membiayai kos rawatan. Had tahunan adalah sebanyak RM500 bagi satu keluarga.

“Biasanya, saya ke klinik untuk rawatan pesakit luar seperti selsema, batuk dan demam. Saya boleh menggunakan Iltizam Selangor Sihat untuk anak-anak dan diri sendiri. Prosesnya mudah. Apa yang perlu dilakukan hanya menunjukkan kad pengenalan di klinik panel dan kita akan mendapat rawatan,” Ng memberitahu CodeBlue apabila dihubungi.

Secara keseluruhannya, keadaan Ng adalah sihat tetapi mempunyai tahap kolestrol yang tinggi. “Saya harap Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan program ini. Program ini sangat membantu diri saya dan anak-anak,” ujar Ng.

Sebagai seorang penerima ISS, Ann Jamal, yang berumur 25 tahun, tidak gusar sekiranya jatuh sakit. Beliau bekerja sebagai kerani di sebuah klinik, berpendapatan bulanan antara RM2,000 dan RM3,000, dan menetap bersama kakaknya di Subang Jaya.

“Saya selalunya pergi ke Klinik Selcare di USJ untuk rawatan. Biasanya untuk simptom seperti selsema, demam atau ciriti-birit,” Ann memberitahu CodeBlue menerusi temu bual telefon.

“Secara purata, saya mungkin ke klinik tiga tahun sekali. Iltizam Selangor Sihat memang memudahkan saya, terutamanya apabila sakit.”

Pengembangan Selcare: Rawatan Pesakit Dalam, Pusat Dialisis, Pembiayaan Sementara untuk Pesakit Dialisis

Pengarah Urusan Selgate Healthcare dan Ketua Pegawai Eksekutif Muaz Omar bercakap kepada CodeBlue dalam satu temu bual di Kuala Lumpur pada 30 Januari 2024. Foto oleh Boo Su-Lyn.

Program ISS Selangor yang pada mulanya dikenali sebagai Skim Peduli Sihat, dan kemudiannya dikembangkan daripada rawatan asas dan ditambah dengan vaksinasi dan saringan. Kini, ia turut meliputi rawatan pesakit dalam (in-patient) di hospital panel terpilih sehingga RM10,000 setahun di bawah Belanjawan 2024.

Pengarah Urusan Selgate Healthcare dan Ketua Pegawai Eksekutif Muaz Omar menyatakan bahawa perkhidmatan penjagaan kesihatan milik kerajaan negeri ini merancang untuk menyediakan pusat dialisis di hospital-hospital baru milik Selgate yang akan dibuka.

Hospital yang pertama dalam rancangan ini, Hospital Selgate Rawang, dijangka siap pada bulan Jun dan akan mula beroperasi di tahun hadapan.

Muaz mengatakan Selcare juga merancang untuk memberi pembiayaan sementara (stop-gap payment) bagi melindungi pesakit selama tiga hingga enam bulan selepas pengesahan doktor bahawa mereka memerlukan dialisis. Biasanya, pesakit dikehendaki membayar terlebih dahulu untuk rawatan bagi tempoh tersebut sementara memohon pembiayaan bagi rawatan dialisis.

Beliau turut memberikan penerangan mengenai peranan Kerajaan Negeri Selangor, negeri paling maju di negara ini, dalam usaha menyediakan penjagaan kesihatan bersubsidi kepada penduduknya melalui pelbagai program kesihatan sejak tahun 2017.

Selain ISS, Bantuan Sihat Selangor juga menyediakan bantuan kewangan sehingga RM5,000 untuk menampung kos rawatan dialisis, pembedahan katarak, pembedahan minor, rawatan barah, kos pengangkutan, dan alatan bantuan perubatan.

Program Selangor Saring pula menyediakan program saringan kesihatan bersubsidi penuh termasuklah pemeriksaan fizikal; ujian darah dan air kencing, ujian iFOBT untuk barah kolon; ujian HPV untuk barah serviks, ujian prostat; mammogram; pemeriksaan mata, gigi dan telinga; serta fisioterapi.

“Kami membangunkan program-program ini untuk negeri,” Muaz memberitahu CodeBlue dalam satu temu bual. “Kerajaan negeri mengambil tanggungjawab untuk menyediakan penjagaan kesihatan walaupun ianya di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan.”

Selcare Management bukan sahaja menguruskan program-program penjagaan kesihatan negeri Selangor, bahkan turut merangka program yang sama di Kedah dibawah nama Kasih Ibu Darul Aman, bagi tempoh dua ke tiga tahun yang pertama.

TPA yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan kini mengendalikan program perubatan Kad Sejahtera Terengganu dan program kebajikan Perak Sejahtera. Terengganu ditadbir oleh Perikatan Nasional.

Selcare Management – yang mempunyai jaringan lebih 2,000 klinik panel dan lebih 200 hospital panel di seluruh negara – telah membantu dan memberikan perkhidmatan sokongan kepada lebih setengah juta keluarga dan individu di seluruh Malaysia.

“Penjagaan kesihatan tidak mengenal perbezaan warna kulit politik,” ujar Muaz.

You may also like