Migrasi Jururawat Ke Wad Bagaikan ‘Gali Lubang, Tutup Lubang’ – Misi Cabuk

Migrasi jururawat klinik pakar ke wad: “Adakah perletakan jawatan dan migrasi ini menguntungkan kerajaan, walaupun kerajaan terpaksa berhadapan dengan perletakan jawatan dari jururawat-jururawat yang mempunyai kepakaran yang dipraktikkan bertahun lamanya?”

Secara asasnya, proses migrasi jururawat di klinik pakar ke wad mempunyai pro dan kontra yang sangat besar. 

Jika dilihat dari beberapa segi, seorang jururawat seharusnya lebih terbuka dan fleksibel dalam menjalankan tugas yang semakin mencabar, di samping dunia perubatan yang menghampiri zaman moden dan lebih banyak mesin dan kepakaran yang perlu dipraktikkan setiap masa. 

Di ambang zaman perubatan yang semakin berevolusi seiring dengan zaman, jururawat bukannya tertumpu pada penjagaan pesakit sahaja. 

Tidak dinafikan, jururawat perlu memberi tumpuan pada tugas hakiki menjaga pesakit, tetapi di luar negara, tugasan jururawat lebih terbuka di semua disiplin tanpa mengira tempat bertugas, walau di klinik atau wad sekalipun. 

Lihatlah betapa hebatnya jururawat di luar negara-negara membangun yang menggantung stetoskop di leher dan mempunyai peranan yang besar dalam penjagaan pesakit, setaraf dengan petugas-petugas kesihatan yang lain, memandangkan jururawat juga mempelajari modul perubatan, penyakit, dan diagnosis yang sama seperti doktor. 

Jururawat perlu berevolusi dari semua segi, bukan hanya tertumpu pada penjagaan pesakit di wad sahaja.

Jika dilihat dari beberapa sudut proses migrasi ini, sedarkah ramai jururawat yang terpaksa meletakkan jawatan kerana keputusan migrasi ini? 

Terdapat juga jururawat yang mempunyai masalah untuk penyesuaian masa bertugas selepas proses migrasi ini, dan tiada pilihan jelas yang diberikan kepada jururawat-jururawat yang malang ini, menyebabkan mereka terpaksa meletakkan jawatan kerana terpaksa memberi tumpuan kepada perkara yang perlu diberi keutamaan seperti menguruskan keluarga. 

Pilihan persaraan awal pula hanya diberikan kepada orang yang sakit sahaja, bukan kepada mereka yang mempunyai pilihan lain. 

Bukankan perkara ini sangat merugikan kepada kerajaan kerana perjawatan ini hilang bersama kepakaran-kepakaran jururawat yang meletakkan jawatan? 

Adakah perletakan jawatan dan migrasi ini menguntungkan kerajaan, walaupun kerajaan terpaksa berhadapan dengan perletakan jawatan dari jururawat-jururawat yang mempunyai kepakaran yang dipraktikkan bertahun lamanya? 

Seharusnya kerajaan melakukan proses migrasi ini dengan penggantian 1:1 melalui jururawat yang bertukar keluar, dinaikkan pangkat dan lain-lain sebab yang berkaitan dengan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) supaya tindakan perletakan jawatan dan tekanan kerja dapat dielakkan. 

Proses ini juga bukan sahaja akan menguntungkan kedua-dua pihak, dari segi kepakaran dan perkhidmatan sesuatu unit, malah lebih banyak masalah dapat dielakkan dan situasi “menang-menang” dapat dicapai di antara pihak kerajaan, jururawat dan PPP.

Seharusnya kerajaan perlu agresif menambah perjawatan dan bersikap terbuka pada petugas kesihatan di mana setiap petugas kesihatan perlu fleksibel bertugas di mana-mana displin, tidak kira ia seorang jururawat atau PPP. 

Proses “gali lubang dan tutup lubang” ini lebih membebankan staf-staf lain yang masih bertugas menyebabkan lebih banyak masalah lain yang timbul seperti masalah perletakan jawatan dan staf kesihatan mencari alternatif lain dengan mencari kerja lain di sektor swasta supaya ruang kerja mereka lebih kondusif dari segi kesihatan mental. 

Percayalah, dalam tempoh beberapa tahun lagi, profesion dan kerjaya kejururawatan akan terus menjadi mundur jika hanya bertumpu pada penjagaan pesakit sahaja. 

Lebih banyak jururawat-jururawat yang hebat dalam bidangnya akan tersepit dan menyebabkan mereka akan “lari” mencari tempat bertugas yang menghargai kepakaran mereka. 

Kemajuan teknologi bidang perubatan yang semakin hebat bukan sahaja menolak jururawat terus ke belakang, malah jururawat di Malaysia akan dipandang rendah jika jururawat hanya bertumpu pada penjagaan pesakit sahaja. 

Migrasi ini cuma jalan satu pihak untuk menerangkan bahawa kita mengalami masalah tenaga kerja yang agak kritikal, bukan pengalihan tugas yang efisien. 

Sepatutnya jurang tugas di antara PPP dan jururawat perlu dikurangkan bagi menjadikan kesamarataan di tempat bertugas menjadi lebih mudah dan cekap. 

PPP mempunyai lebih kepakaran dalam mengendalikan kes kecemasan dan mengendalikan alatan perubatan, dan jururawat pula cekap mengurus dan memberi perawatan kepada pesakit. 

Adakah lebih baik bahawa jika tugas ini dapat disandang bersama tidak mengira perjawatan, dan di akhir setiap tugas itu, matlamat utama dalam perawatan dan penjagaan pesakit dapat dijayakan dengan baik? Perbezaan hanya mengurangkan kejayaan dan mencipta jurang. 

Adalah lebih baik jika pihak atasan melihat perbezaan tugas PPP dan jururawat ini sebagai satu kelebihan dalam satu tempat bertugas. 

Bayangkan dengan percampuran tugasan antara jururawat dan PPP ini menghasilkan gaya kerja dan tugas yang lebih berinovatif serta berdaya saing di samping mengurangkan jurang perbezaan tugasan di antara dua perjawatan ini. 

Bukankah matlamat penjagaan pesakit lebih penting daripada perbezaan perjawatan ini sehinggakan jururawat dan PPP perlu diasingkan mengikut cara kerja yang berbeza? Migrasi ini hanya satu kelemahan satu pihak untuk menutup yang lain.

Nukilan dari seorang jururawat yang penat dengan kerenah birokrasi orang atasan, pembahagian pangkat yang tidak adil di kalangan jururawat senior dan yang terakhir dalam keturunan ini yang menjadi jururawat dan diharamkan sehendaknya bagi keturunan yang lain-lain untuk menjadi seorang jururawat. 

CodeBlue memberi kerahsiaan kepada penulis kerana penjawat awam dilarang menulis kepada akhbar.

Untuk lebih maklumat tentang polisi baru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tentang penempatan semula jururawat dari klinik pakar di hospital KKM ke wad, baca artikel ini: MOH Diverting ‘100%’ Nurses From Specialist Clinics To Wards Amid Critical Shortage. 

  • Ini adalah pendapat peribadi penulis atau penerbitan dan tidak semestinya mewakili pandangan CodeBlue. 

You may also like