Jauhkan Diri Dari Doktor Gigi Hantu – Tuan Yuswana Tuan Soh

Doktor gigi hantu ini memang tidak menjalani kursus pergigian. Oleh itu, rawatan yang disediakan oleh doktor gigi hantu ini adalah tidak betul dan tidak berasas langsung.

Di Malaysia, pertambahan perkhidmatan doktor gigi hantu atau pengamal pergigian yang tidak bertauliah semakin meningkat. Doktor gigi hantu ini menawarkan rawatan pergigian di merata tempat dan mereka sebenarnya bukan doktor gigi dan tidak memiliki sijil untuk mengamalkan pergigian di Malaysia.

Doktor gigi yang berkelayakan akan memegang Sijil Amalan Tahunan atau Annual Practicing Certificate (APC), yang perlu diperbaharui setiap tahun oleh Majlis Pergigian Malaysia (MDC).

Doktor gigi hantu ini memang tidak menjalani kursus pergigian. Oleh itu, rawatan yang disediakan oleh doktor gigi hantu ini adalah tidak betul dan tidak berasas langsung.

Selalunya pesakit kurang kesedaran untuk menilai bahawa mereka telah menerima perkhidmatan dari doktor gigi hantu. Doktor gigi hantu akan menawarkan harga yang lebih rendah dari doktor gigi yang bertauliah dan oleh itu, pesakit akan pergi kepada mereka tanpa memeriksa tauliah mereka dan kesan yang akan terjadi dari rawatan yang diberi.  

Kerosakan kepada rawatan yang diberi oleh doktor gigi hantu yang tidak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan gigi dan gusi menjadi teruk. Mereka boleh menyebabkan penyakit gusi yang teruk, gigi menjadi longgar dan kepekaan (sensitivity) yang teruk.

Kadangkala kesan teruk yang ditinggalkan menyebabkan pesakit terpaksa menanggung kos tambahan yang berlipat ganda atau dalam keadaan yang lebih teruk terpaksa cabut gigi yang terlibat kerana tidak dapat diselamatkan lagi akibat rawatan dari doktor gigi hantu ini.  

Tambahan pula doktor gigi hantu menyampaikan perkhidmatan pemeriksaan dan/atau rawatan menggunakan peralatan yang dibeli secara atas talian, atau mungkin bahan palsu yang tidak dikawal oleh mana-mana badan regulatori, termasuk pemakaian alat perlindungan dan tiada proses pensterilan yang teratur dilakukan ke atas peralatan peralatan yang digunakan.

Bayangkan alat palsu yang tiada melalui proses kawalan jangkitan silang ini digunakan untuk merawat dan memeriksa mulut anda! Dan lebih teruk lagi sekiranya peralatan ini di kongsi dengan pesakit yang berjangkit seperti hepatitis.

Wajarkah kita teruskan bagi sokongan pada mereka dan membiarkan mereka bermaharajalela menyampaikan perkhidmatan pergigian palsu?

Kenapa perkara ini berlaku? Adakah perkara ini berlaku disebabkan oleh Malaysia kekurangan doktor gigi yang bertauliah? Mungkin kekurangan fasiliti? Atau masyarakat yang kurang ilmu?

Pengguna yang kurang kesedaran sering mencari jalan alternatif untuk mendapatkan rawatan pergigian estetik dengan harga murah dan cepat. Biasanya doktor gigi hantu ini memberikan rawatan yang mendapat permintaan tinggi dari masyarakat setempat seperti rawatan pendakap gigi (braces), veneer, pemutihan gigi, dan gigi palsu.

Rawatan-rawatan yang memerlukan khidmat doktor pakar yang bertauliah ini memerlukan penelitian dan pemeriksaan yang kompleks dan kebanyakan klinik mempunyai senarai menunggu yang agak lama.

Pada 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan lessen perawatan pergigian yang sah kepada 11,598 orang doktor gigi yang bertauliah dengan seramai 7,443 orang pegawai pergigian sektor awam dan 4,154 orang yang menawarkan perkhidmatan di klinik swasta.

Ini menunjukkan nisbah doktor gigi yang bertauliah kepada penduduk Malaysia pada tahun 2020 adalah sebanyak 1:2,816. Nisbah ini menunjukkan jumlah yang agak rational dalam penyampaian perkhidmatan pergigian sekiranya semua masyarakat sedar tentang kepentingan lawatan ke klinik gigi dan bertemu doktor gigi yang bertauliah.

Bagaimana pula untuk mengesahkan doktor yang bertauliah? Masyarakat boleh menyemak senarai nama doktor tersebut di laman sesawang Sistem Pengurusan Maklumat Pengamal Pergigian pada link.

Sekiranya doktor gigi anda berdaftar, namanya akan muncul, bersama dengan status pendaftaran mereka (aktif atau tidak aktif), tarikh pendaftaran, kelayakan serta alamat amalan semasa mereka. Jangan ragu-ragu, jangan keliru!

Jauhkan diri anda dari doktor gigi hantu! Elakkan dapat rawatan palsu!

Tuan Yuswana Tuan Soh ialah pelajar pasca siswazah (Dr in Dental Public Health) di Fakulti Pergigian, Universiti Teknologi MARA.

  • This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of CodeBlue.

You may also like