Kegelisahan Dan Kegusaran Yang Dihadapi Oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (Inspektor Kesihatan) U29 Kontrak Bukan Tajaan KKM – Nismo 

Penolong pegawai kesihatan persekitaran (PPKP)/ inspektor kesihatan (IK) kontrak bukan tajaan ini patut diberi hak sama rata seperti PPKP/ IK tajaan KKM. Kami penguatkuasa kesihatan memberi sumbangan kewangan dengan mengeluarkan jumlah kompaun yang banyak.

Apa yang ingin saya maklumkan di sini adalah berkaitan dengan status lantikan kontrak penolong pegawai kesihatan persekitaran U29 (PPKP) bukan tajaan, atau lebih dikenali sebagai inspektor kesihatan, di pejabat kesihatan daerah di seluruh Malaysia. 

Kepentingan mereka supaya dilantik semula atau diberi penyambungan kontrak semula supaya tidak mengganggu perjalanan tugas kerja yang banyak dan bertimbun di pejabat kesihatan daerah (PKD) tersebut.

Perkara pertama yang ingin saya nyatakan disini adalah seperti di berikut :

  1. PPKP (penolong pegawai kesihatan persekitaran) atau IK (inspektor kesihatan) bukan tajaan ini terdiri daripada alumni IPTA/ IPTS yang dilantik semasa musim Covid-19 yang sedang melanda negara pada tahun 2021 untuk menampung keperluan paramedik separa perubatan yang tidak mencukupi di sektor kesihatan. Jumlah keseluruhan lantikan PPKP bukan tajaan ini lebih kurang 300-400 orang di seluruh Malaysia.
  2. Pada awalnya, memang mereka ditempat di sub unit Covid di bawah unit/sektor unit kawalan penyakit berjangkit (CDC). Akan tetapi, keredaan Covid-19 membuatkan mereka telah ditempatkan di posisi atau unit-unit asal yang lain seperti di unit inspektorat dan perundangan (UIP), unit kawalan penyakit bawaan vektor (unit vektor), unit HIV, unit tibi, unit Covid, unit KPAS (Keselamatan Pekerjaan & Alam Sekitar), dan juga unit promosi kesihatan.
  3. Jadi, setelah mereka ditempatkan di unit-unit tersebut,terbukti mereka juga sama seperti PPKP atau IK bertaraf tetap. Skop tugas yang sama dan keperluan mereka di dalam PKD di setiap unit sangat memerlukan untuk menampung bebanan kerja yang tinggi.
  4. Pengurusan jenazah bersama PDRM.

Perkara kedua yang ingin saya bangkitkan adalah segala permasalahan yang berlaku telahpun kami berbincang dengan kesatuan KIKSM (Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia). Makluman ini telah sampai ke pihak ketua profesion; akan tetapi, tiada apa-apa maklumbalas dari mereka – seolah-olah mereka nampak kami tidak mempunyai kepentingan untuk diberi penyambungan kontrak.

Kami penguatkuasa kesihatan yang banyak memberi sumbangan kewangan dengan mengeluarkan jumlah kompaun yang banyak. Dianggarkan setiap tahun nilai kompaun dikeluarkan mencecah jutaan ringgit. 

Nilai kompaun ini merangkumi dari segi kesalahan merokok di kawasan larangan merokok di bawah peraturan-peraturan kawalan hasil tembakau 2004, kompaun/ dakwa berkaitan pembiakan jentik-jentik di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit.

Secara kesimpulannya, adalah saya berharap agar YB Menteri Kesihatan, KSU, Ketua Pengarah Kesihatan, dan juga Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam membuat tindakan yang sewajarnya agar PPKP/ IK kontrak bukan tajaan ini diberi hak sama rata seperti PPKP/ IK tajaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Masing-masing mempunyai komitmen yang tinggi, ada yang sudah berkahwin dan ingin menampung perbelanjaan keluarga.

Tindakan yang pantas perlu diambil oleh pihak KKM agar permasalahan ini tidak berlarutan.

Antara skop tugas penolong pegawai kesihatan persekitaran/ inspektor kesihatan:

  1. Unit inspektorat dan perundangan (UIP): menyediakan fail siasatan beserta kertas aduan, pertuduhan, saman serta fakta kes apabila menerima notis bertulis pelanggaran undang-undang daripada pegawai penyiasat. Menjalankan operasi premis bersih, PPKHT (Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau), siasatan, dan aduan.
  2. Unit keselamatan dan kualiti makanan (UKKM): menjalankan pemeriksaan premis-premis makanan seperti kilang-kilang makanan, hotel, kantin-kantin sekolah, restoran-restoran, gerai-gerai makanan, dan lain-lain lagi yang mana premis-premis yang terlibat dengan penyediaan dan penjualan makanan. Terlibat dengan operasi premis dan sekolah.
  3. Unit vektor: melakukan aktiviti pencegahan dan kawalan yang dijalankan saperti “source reduction & destroy“, abating, kajian ovitrap; siasatan kes denggi
  4. Unit tibi: siasatan kes kematian, default, kontak rapat; saringan tibi; saringan tibi/ AIDS
  5. Unit HIV: siasatan kes HIV/AIDS, syphilis, penyakit kelamin; saringan pra-perkahwinan; siasatan kematian; prostar
  6. Unit bekalan air dan kebersihan alam sekeliling
  7. Unit kawalan mutu air minum
  8. Unit promosi kesihatan
  9. Unit kesihatan pekerja dan alam sekitar: kesihatan dan keselamatan pekerjaan; kesihatan persekitaran
  10. Unit kesihatan awam (hospital)
  11. Pintu masuk antarabangsa (airport/ seaport)
Penyiasatan dan Pendakwaan Kes di Bawah Undang-Undang Kesihatan Awam, 2019-2021. Sumber: Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam, KKM.
Penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, 2019-2021. Sumber: Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam, KKM.
Pencapaian Program Kawalan Tibi Kebangsaan, 2017-2021. Sumber: Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam, KKM.

Nismo (nama samaran) ialah seorang penolong pegawai kesihatan persekitaran U29 kontrak IPTA/ IPTS di KKM. CodeBlue menyiarkan surat beliau tanpa nama oleh sebab penjawat awam tidak dibenarkan untuk menulis kepada pihak media. 

  • Ini adalah pendapat peribadi penulis atau penerbitan dan tidak semestinya mewakili pendapat pihak CodeBlue.

You may also like