Pintu Pagar Maut Sungai Tujuh, Miri – Dr Ahamad Hussain Shaik Mohamed

Untuk membolehkan pesakit dibawa menaiki ambulans Malaysia merentasi Brunei untuk ke Hospital Miri, pihak hospital perlu mengisi Borang Laluan Rentas Brunei dan menghubungi pihak Imigresen Brunei — proses ini sahaja memakan masa sekitar 1-2 jam.

“Pintu pagar maut” – mungkin ini istilah sesuai untuk menggambarkan satu tragedi kematian seorang pesakit wanita dari Lawas, Sarawak, selepas ambulans yang sepatutnya menghantarnya ke Hospital Miri tidak dapat melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, Miri, awal pagi 6 Disember lepas.

Menurut portal berita Utusan Borneo pada 7 Disember 2022, memetik Pastor Billy John dari gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) Ulu Gelugus, Lawas, yang mengiringi wanita berkenaan, beliau mendakwa tiada sesiapa di pintu pagar ketika ambulans tiba di kompleks berkenaan sekitar jam 1.30 pagi.

Menurut beliau, pemandu ambulans membunyikan hon, tetapi pengawal keselamatan berkata individu yang memegang kunci tiada pada masa kejadian, justeru pintu pagar tidak dapat dibuka.

Beliau juga mendakwa sepanjang perjalanan dari Lawas, paramedik melakukan CPR (resusitasi kardiopulmonari) ke atasnya beberapa kali dan dia kelihatan baik-baik sahaja, tetapi di ICQS (Sungai Tujuh, Miri) mereka terpaksa menunggu pengawal keselamatan untuk mendapatkan pembawa kunci berkenaan yang tidak muncul-muncul.

Menurutnya lagi, pada masa itu pesakit yang juga ibu saudara beliau menghembuskan nafas terakhirnya. Namun, beliau merasakan masih perlu pergi ke Hospital (Miri).

Oleh itu, mereka terpaksa membuka pintu pagar untuk meneruskan perjalanan, sambil menambah bahawa mereka mendapat bantuan daripada beberapa anggota RELA untuk memecahkan pintu pagar tersebut. Beliau berkata mereka kemudiannya tiba di Hospital Miri sekitar jam 3 pagi.

Inilah keadaan sistem kesihatan di Bumi Kenyalang, terutamanya dua kawasan yang diapit oleh Brunei Darussalam, iaitu Lawas dan Limbang, yang terputus laluan darat di dalam Malaysia, iaitu negara mereka sendiri dan terpaksa mengharap ihsan dan laluan dari negara jiran Brunei Darussalam untuk bergerak.

Ini sedangkan Brunei telah ke hadapan untuk menghubungkan dua kawasan besar mereka, iaitu Bandar Seri Bagawan dan Temburong, menerusi Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifudin.

Namun, sayangnya sistem di Malaysia masih takuk lama. Jika dilihat, masa ketibaan ambulans di ICQS Sungai Tujuh ialah sekitar jam 1.30 pagi dan akibat kelemahan sistem lama ini, pesakit tersadai bertarung nyawa di pintu sempadan sehingga jam 3 pagi, di mana masa satu jam setengah itu mungkin boleh membantu pesakit pulih semula.

Karenah Birokrasi

Menurut sumber yang boleh dipercayai, pintu sempadan antara Sarawak dan Brunei beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 10 malam dan kebiasaannya, tiada masalah untuk melalui pintu sempadan berkenaan.

Untuk membolehkan pesakit dibawa menaiki ambulans Malaysia merentasi Brunei untuk ke Hospital Miri, pihak hospital perlu mengisi Borang Laluan Rentas Brunei dan menghubungi pihak Imigresen Brunei untuk mendapat kelulusan masuk.

Proses ini sahaja memakan masa sekitar satu hingga dua jam, bergantung kepada keberadaan staff imigresen Brunei untuk menguruskan urusan ini.

Masa ini juga akan bertambah untuk menunggu keputusan akhir ahli keluarga untuk menghantar pesakit.

Inilah realiti di Limbang dan Lawas, dua kawasan yang memang berada di dalam Malaysia. Orang Malaysia, keluarga Malaysia mahukan rawatan terbaik dari fasiliti kesihatan di Malaysia, tetapi terpaksa melalui karenah birokrasi sempadan negara.

Masa Abad 21, Fasiliti Abad 19

Itulah yang berlaku pada negeri di Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak. Fasiliti asas seperti jalan raya, jambatan, dan hospital sangatlah mendukacitakan.

Jalan utama berlubang di sana sini sehingga rakyat mereka menggelarkan itu bukan jalan, tetapi bulan.

Saya sendiri pernah melalui jalan utama dari Kota Kinabalu-Semporna melalui Telupid, di mana sebahagian jalannya berlubang sana sini. Apatah lagi kawasan terpencil dan pedalaman, seperti di Lawas dan Limbang, yang terputus langsung jalan darat yang sempurna dan perlu melalui jalan balak untuk berhubung.

Fasiliti kesihatan juga daif dan berfungsi sebagai hospital daerah tanpa kepakaran, di mana hospital berpakar terdekat, sama ada di Kota Kinabalu ataupun Miri, masa perjalanan ialah lebih kurang tiga hingga empat jam.

Sumber Manusia

Sebagaimana diketahui umum, sistem doktor kontrak sekali lagi mengancam ekosistem kesihatan kita, di mana akibat ketiadaan sekuriti pekerjaan menyebabkan para doktor meninggalkan sektor awam.

Bayaran insentif yang kurang ditambah markah merit yang tidak setimpal untuk menyambung pelajaran bagi mereka yang bekerja di hospital daerah menyebabkan ramai tawar hati dengan sektor awam dan beralih ke swasta.

Ketiadaan pakar dan sub-kepakaran di hospital di dua daerah ini juga memburukkan lagi keadaan.

Solusi

Banyak perkara perlu diperbaiki, terutamanya dari sudut fasiliti untuk negeri Borneo, terutama kawasan Limbang dan Lawas.

Untuk langkah permulaan, terutamanya melibatkan birokrasi dengan negara jiran, saya mencadangkan diwujudkan sistem aplikasi elektronik dalam telefon, seperti contoh FastLane Border Pass, untuk memudahkan semua pihak mengisi dan meluluskan perjalanan rentas sempadan secara dalam talian untuk membolehkan pesakit dibawa segera mungkin ke Hospital Miri.

Sebolehnya, proses ini haruslah mengambil masa kurang satu jam atau setengah jam.

Seterusnya, menaiktaraf dua hospital Limbang dan Lawas dan menjadikan mereka hospital berpakar, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada Hospital Miri dan Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Ini juga menyebabkan pesakit tidak perlu lagi mengharapkan ihsan negara Brunei untuk rentas sempadan.

Selain itu, sistem jalan raya juga perlu dipertingkatkan. Usaha pelaksanaan Projek Sabah Sarawak Link Road (SSLR) yang dijangka siap pada 2030 harus diberi keutamaan oleh kementerian agar sistem pengangkutan darat dapat diperbaiki, seterusnya juga membantu ambulans untuk bergerak menhantar pesakit mendapatkan rawatan segera.

Untuk mengekalkan sumber manusia di kawasan pedalaman ini, kerajaan boleh tingkatkan lagi elaun untuk bekerja di kawasan pedalaman, dengan mengambil kira kesusahan yang dialami oleh staf. Selain itu, tingkatkanlah markah merit untuk sambung belajar bagi mereka yang bekerja di hospital dan fasiliti kesihatan di pedalaman.

Menerusi Perjanjian Malaysia atau ”Malaysia Agreement 1963 (MA 63)”, kedua negeri Borneo ini perlu diberi autonomi untuk menguruskan sistem kesihatan mereka.

Selama 59 tahun, mereka mengharap ihsan Putrajaya untuk fasiliti kesihatan terbaik, namun masih di takuk lama. Seharusnya, mereka diberi peluang untuk menguruskan hal ini kerana hanya mereka memahami masalah di bumi mereka, bukanlah pegawai di kerusi empuk di Putrajaya.

Konklusi

Kesemua pihak, termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Kerja Raya, dan Jabatan Imigresen, harus mengembleng tenaga untuk meningkatkan sistem kesihatan dan fasiliti di negeri Borneo.

Jika tiada tindakan segera, pintu pagar sempadan di Sarawak-Brunei hanya akan kekal menjadi pintu pagar maut buat mereka.

Dr Ahamad Hussain Shaik Mohamed ialah pegawai perubatan UD43.

  • This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of CodeBlue.

You may also like