Sebagai seorang doktor, saya berazam untuk memberikan rawatan yang terbaik dan mengurangkan penderitaan pesakit. Mengharungi kerjaya perubatan yang kompleks di dalam realiti dan persekitaran dimana tiada kesaksamaan gender berlaku, sudah tentu saya ada pengalaman-pengalaman yang saya kesali.
Masih segar, di awal kerjaya perubatan saya dahulu, pengalaman saya menemubual Puan N, di mana saya meletakkan diagnosis ‘psychogenic chest pain’ (sakit dada kerana psikologi pesakit) di dalam nota perubatan beliau apabila ujian-ujian makmal beliau semuanya normal.
Kekerapan Puan N ke hospital hampir setiap bulan dengan aduan yang sama membuatkan ramai doktor pakar jantung mengeluh. Semasa saya mengambil kes Puan N, keputusan ujian petanda kerosakan jantung dan elektrokardiogram adalah normal; justeru tiada siasatan lanjut diperlukan.
Setelah berbincang dengan doktor pakar jantung yang bertugas pada syif malam tentang keputusan ujian-ujian Puan N, saya terus pergi berjumpa beliau dan berkata kepada beliau, “Saya tidak tahu apa yang menyebabkan Puan mengalami kesakitan di bahagian dada Puan, tetapi saya ingin mengesyorkan Puan bahawa tiada penyakit yang serius serius seperti sakit jantung, atau darah beku di dalam paru-paru.”
Sebelum Puan N pulang, saya nasihatkan beliau untuk tidak teragak-agak untuk datang semula jika beliau mengalami sebarang sakit dada di masa yang akan datang. Puan N mengucapkan terima kasih, mungkin kerana saya mengambil masa untuk mendengar dan memberi tumpuan kepada kehadiran beliau hari ini.
Kemungkinan besar, anda tahu akan pesakit seperti Puan N. Mereka akan menelefon ambulans, sanggup untuk menunggu berjam-jam di jabatan kecemasan sebelum diberitahu ‘semuanya normal’ dan dihantar pulang oleh doktor.
Namun, saya yakin bahawa mereka tidak melakukan ini sekadar suka-suka atau hanya untuk mendapat perhatian.
Mengapa kita begitu cepat untuk menuding jari kepada psikologi pesakit untuk sesuatu yang kita tidak benar-benar tahu? Kita lebih cepat untuk menyalahkan kecelaruan psikogenik mereka jika mereka adalah wanita (Samulowitz, Gremyr, Eriksson, & Hensing, 2018) walaupun pelbagai eksperimen telah membuktikan bahawa wanita lebih sensitif kepada kebanyakan bentuk stimulus kesakitan (mekanikal, elektrik, terma, iskemia, kimia) (Pieretti et al., 2016), mengalami tahap kesakitan yang lebih tinggi berikutan suntikan glutamat intramuskular dan garam hipertonik (bahan bukan analgesik), dan mengalami kesakitan lebih lama berbanding lelaki (Fillingim, King, Ribeiro-Dasilva, Rahim-Williams, & Riley, 2009).
Memang tidak dapat dinafikan, faktor sosial dan budaya mempengaruhi pengalaman kesakitan yang dialami pesakit; kerana sejak kecil lagi, kanak-kanak lelaki diajar untuk menahan sakit dan tidak menangis dan kanak-kanak perempuan lebih didorong untuk memohon pertolongan, dan ini membina kepada stereotaip gender yang tidak sihat di dalam masyarakat kita (Myers, Riley, & Robinson, 2003).
Malangnya, wanita yang meminta ubat sakit tidak mendapat ubat sakit dan dilabel ‘histeris’ dan ‘penuh emosi’ kerana kita merasakan mereka menokok tambah kesakitan mereka tetapi lelaki dilihat sebagai ‘berani’ kerana tampil untuk berkongsikan kesakitan mereka dan mengetepikan ego mereka (Samulowitz et al., 2018).
Pada tahun 1990, Calderone melaporkan bahawa pesakit wanita lebih banyak diberikan ubat penenang berbanding dengan pesakit lelaki yang lebih banyak menerima ubat tahan sakit. Tidak banyak yang berubah sejak 30 tahun dahulu. Streotaip gender ini menyebabkan 13-25 peratus wanita menunggu lebih lama untuk mendapat ubat tahan sakit di jabatan kecemasan berbanding lelaki untuk sakit perut, dan tidak diberikan ubat tahan sakit opioid berbanding pesakit lelaki untuk aduan yang serupa di dalam hospital (Chen et al., 2008).
Salah satu sebab wanita mengambil masa 6-12 tahun (Nnoaham et al., 2011) untuk diberi diagnosis endometriosis, iaitu satu penyakit yang biasa dialami oleh 1 dalam 10 wanita (Zondervan et al., 2018), adalah kerana gara-gara sikap kita sudah terbiasa untuk untuk menormalisasikan kesakitan haid seorang wanita.
Malangnya, apabila isu perkauman diambil kira, perspepsi yang tidak benar iaitu Orang Hitam mempunyai daya tahan sakit yang lebih tinggi berbanding dengan Orang Putih masih lagi dipercayai dalam kalangan profesional perubatan pada abad ke-21 (Hoffman, Trawalter, Axt, & Oliver, 2016).
Adakah benar pesakit itu benar-benar sihat dan tiada ketidaknormalan, jika ujian makmal berada dalam julat normal? Pandangan alternatif yang boleh diambil kira adalah kebarangkalian tiada ujian makmal yang sesuai untuk mengukur ketidaknormalan yang disebabkan oleh penyakit tersebut.
Puan N adalah contoh pesakit yang diberi diagnosis Medically Unexplained Symptoms (MUS) (Simptom Tanpa Penerangan Medikal). Diagnosis MUS sepatutnya yang diberikan kepada seorang pesakit setelah semua siasatan dan ujian dilakukan dan kebarangkalian untuk sebarang penyakit lain telah dipertimbangkan, namun pesakit wanita yang tampil dengan aduan sakit belakang mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk menerima diagnosis MUS berbanding dengan pesakit lelaki yang tampil dengan isu yang sama (Claréus & Renström, 2019).
Berbanding dengan pesakit lelaki, pesakit wanita adalah tiga kali lebih banyak diberikan diagnosis MUS (Schaefert et al., 2012) terutama sekali apabila faktor-faktor psikologi tampil bersama aduan medikal mereka (Chiaramonte & Friend, 2006). Diagnosis MUS menghalang ujian-ujian makmal selanjutnya dilakukan (Claréus & Renström, 2019).
Sebagai contoh, seorang pesakit yang telah menerima diagnosis myalgic encepahlomyelitis (ME), salah satu penyakit di bawah panji MUS, akhirnya diberi diagnosis non-dilated cardiomyopathy dengan ujian MRI jantung dan ekokardiogram setelah saya memujuk beliau berulang kali untuk mendapatkan diagnosis formal postural orthostatic tachycardia syndrome daripada doctor beliau.
Ini membuktikan bahawa label MUS menjadi penghalang untuk pesakit ini mendapatkan rawatan wajar untuk aduan sakit dada dan pening yang dialami oleh pesakit ini selama sepuluh tahun. Justeru, dengan masalah-masalah yang dinyatakan di atas, adakah wajar bagi NICE UK (Institut Kesihatan dan Kecemerlangan Penjagaan Nasional) untuk menghasilkan garis panduan yang mengesyorkan rawatan psikologi dan anti-depresan untuk kesakitan kronik?
Walaupun bukti-bukti saintifik dipilih dengan teliti oleh NICE, adakah NICE terlepas pandang unsur-unsur bias yang dialami oleh pesakit-pesakit ini apabila mendapatkan rawatan kesihatan?
Stigma berkaitan dengan MUS tidak boleh dipandang rendah. Istilah-istilah yang memperlekeh pesakit seperti ‘frequent flyer’, ‘fail tebal’ adalah sindiran biasa bagi pesakit-pesakit ini dan malangnya, profesion perubatan bertanggungjawab untuk menyebarkan stigma ini. Naratif yang tidak memberangsangkan ini menghalang rawatan perubatan yang terbaik diberikan kepada pesakit-pesakit ini (Greco, 2012).
Saya harus tegaskan bahawa istilah ‘psikogenik’ (Ding & Kanaan, 2017) atau ‘MUS’ menyinggung perasaan pesakit (Marks & Hunter, 2014) kerana istilah tersebut membawa implikasi bahawa simptom-simptom yang mereka alami adalah rekaan semata-mata di mana rawatan psikologi atau psikiatri adalah penyelesai yang pertama. Istilah MUS selanjutnya menyebarkan pandangan dualistik terhadap minda dan tubuh – di mana jika penyakit ini tidak dapat dibuktikan berasal dari tubuh, ia mesti berasal dari fikiran pesakit (Marks & Hunter, 2014).
Istilah yang lebih boleh diterima adalah ‘Persistent Physical Symptoms’ (Simptom Fizikal Berterusan’) atau ‘Functional Symptoms’ (Simptom Fungsi) (Ding & Kanaan, 2017; Marks & Hunter, 2014) kerana ia lebih tepat dan adil, tanpa cuba untuk menyusupkan elemen psikologi terhadap sesuatu diagnosis.
Bagi saya, saya akan terus memilih untuk mengatakan “saya tidak tahu” daripada menyalahkan imaginasi liar pesakit, yang tidak dapat dibuktikan dengan sebarang ujian.
Dr Hannah Nazri is a Harvard Public Health Review Fellow.
Diterjemah dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu Oleh Dr Syed Hadi Arief, doktor pelatih perubatan keluarga di UK. Artikel asal dalam Bahasa Inggeris pertama kali diterbitkan oleh Harvard Public Health Review pada 16 Mei 2021 boleh didapati di sini.