Saya dan isteri merupakan penjawat awam. Kami berdua bekerja sebagai frontliner di negeri Perak. Jabatan mana tidak perlulah saya dedahkan. Tetapi kami adalah frontliner yang perlu bekerja setiap hari.
Apabila PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) diumumkan pada 7 November, saya dan isteri bimbang tentang bagaimana urusan penjagaan anak kami. Pihak taska memaklumkan taska akan ditutup sepanjang PKPB.
Kebimbangan kami berkurang apabila MKN (Majlis Keselamatan Negara) mengeluarkan SOP PKPB yang membenarkan taska untuk frontliner beroperasi pada 8 November 2020. Pengurusan taska kami memaklumkan semula kepada semua ibu bapa taska boleh beroperasi. Lega. Saya dan isteri boleh bekerja dengan tenang.
Namun, pada 9 November 2020, taska anak kami memaklumkan kepada semua ibu bapa pihak taska perlu ditutup kerana JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) Daerah telah mengeluarkan arahan terbaru, iaitu semua pengusaha taska perlu buat permohonan dan isi borang yang disediakan untuk membolehkan taska dibenarkan untuk buka.
Pengurusan taska kami sangat tangkas dengan meminta semua ibu bapa menyerahkan surat kebenaran bekerja dalam tempoh PKPB untuk dijadikan sebagai dokumen sokongan kepada JKM. Keesokan harinya, 10 November 2020, pengusaha taska kami siap menghantar semua borang dan dokumen yang diperlukan.
Selepas beberapa hari menunggu, masih tiada jawapan diterima dari JKM Daerah. JKM Daerah sekali lagi mengingatkan semua pengusaha untuk tidak beroperasi selagi tidak dapat kebenaran.
Saya dan isteri dah mula bingung bagaimana untuk menghantar anak kami esoknya. Kami berdua perlu bekerja untuk serve the people dan memastikan aktiviti ekonomi dalam tempoh PKPB ini berjalan seperti biasa.
Tapi prosedur yang kompleks yang ditetapkan oleh pelbagai agensi ini merumitkan kami sendiri, frontliner kerajaan yang berkhidmat untuk kerajaan.
Jika nasib frontliner ini dilayan sebegini, saya yakin perkhidmatan swasta akan merasa lebih banyak cabaran berhadapan dengan kerenah agensi kerajaan yang pelbagai rencam ini.
Menteri KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) pula baru nak mengumumkan di media pada 12 November yang KPWKM telah luluskan pengoperasian taska dalam tempoh PKPB, tetapi masih tertakluk kepada kelulusan pengarah JKM Negeri. Sedangkan tempoh PKPB telah bermula dari 9 November.
Di kala PKPB ini, eloklah kita sebagai semua penjawat awam dan ketua jabatan kerajaan sentiasa memudahkan masyarakat dan entiti perniagaan yang ingin survive dalam ekonomi yang tak menentu ini.
Janganlah merumitkan prosedur yang telah dirangka untuk memudahkan rakyat. Kami sebagai frontliner tidak ingin meminta lebih, tetapi apa yang kami minta adalah sewaktu kami berkhidmat untuk negara — jagalah kebajikan keluarga kami yang ditinggalkan demi khidmat kami.
CodeBlue is publishing this letter anonymously because civil servants are not allowed to speak publicly without permission from their higher-ups.
- This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of CodeBlue.