Selangor Umum Integrasi App SELangkah Dan MySejahtera, 2 Juta Orang Guna SELangkah

Pengguna akan boleh menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mengimbas Kod QR SELangkah dalam masa yang terdekat.

KUALA LUMPUR, 5 Jun — Aplikasi kerajaan negeri Selangor SELangkah dan aplikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) MySejahtera akan diintegrasikan bagi mengutuhkan lagi inisiatif ‘contact tracing’ secara holistik.

Mentri Besar Amirudin Shari berkata KKM telah melawat kerajaan negeri pada 28 Mei, diketuai oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, bagi membincangkan strategi akan datang dalam mengawal perebakan wabak Covid-19.

Pertemuan tersebut, antara lainnya, membincangkan usaha integrasi di antara ekosistem SELangkah dan aplikasi MySejahtera bagi membolehkan petugas KKM mengakses pangkalan data SELangkah yang luas, bagi melebarkan ruang lingkup penjejakan kontak, selain dari menggunakan kaedah sedia ada.

“Pemilik premis yang telah menggunakan ekosistem SELangkah boleh terus berbuat demikian tanpa perubahan, dan perkongsian pintar di antara kedua-dua sistem digital ini diharap tidak akan mengelirukan pengguna,” Amirudin menerangkan dalam satu kenyataan hari ini.

“Bagi tujuan pemantauan dan audit kepatuhan SOP (standard operating procedure) pembukaan ekonomi semasa PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), log SELangkah turut boleh diakses oleh penguatkuasa-penguatkuasa dari pelbagai agensi, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain,” beliau tambah.

Sehingga 3 Jun, inisiatif SELangkah telah disertai oleh lebih 40,000 komuniti perniagaan dan pemilik premis pelbagai saiz, dari pusat membeli belah sehinggalah ke perusahaan kecil dan sederhana.

Sebagai inisiatif e-tracing dengan teknologi terbuka awam (open platform) yang pertama dan mempunyai kelebihan penggerak awal, ia telah pun digunakan oleh hampir 2.03 juta pengguna.

Angka tersebut meliputi penggunaan di Lembah Klang sahaja dan belum mengambil kira data pengguna negeri lain seperti Pahang dan Johor yang turut menyumbang angka pengguna yang besar. Setakat hari ini, sebanyak 14 juta log kunjungan telah didaftarkan.

Kerajaan negeri melalui Pasukan Petugas Khas Covid-19 (STFC) mengorak langkah dan melatih seramai lebih 30 kakitangan kesihatan pada 20 Mei 2020 bagi pelaksanaan penjejakan kontak melalui ekosistem SELangkah. Sehingga ke tarikh mutakhir, lebih 250 carian telah dijalankan melalui ekosistem ini.

Untuk tempoh permulaan, carian kontak oleh kakitangan kesihatan akan diintegrasikan merentasi kedua-dua pangkalan data MySejahtera & SELangkah. Dalam masa yang terdekat, pengguna akan boleh menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mengimbas Kod QR SELangkah, selain dari menggunakan modaliti sedia ada.

Aplikasi SELangkah menggunakan Kod QR yang boleh diimbas oleh pengguna yang mengunjungi sesebuah premis perniagaan, supaya pengguna boleh meletakkan nama dan nombor telefon di halaman website.

You may also like