Covid-19: Pasca PKP — Bagaimana? Dr Lokman Hakim Sulaiman

Kita sudah bersedia untuk menghadapi gelombang Covid-19 yang lebih besar.

Dari sudut kesihatan awam dan kawalan penularan jangkitan, saya mengajak rakan-rakan FB saya meneliti fakta yang kita tahu tentang jangkitan ini hingga ke saat ini:-

Secara konsisten WHO dan CDC Atlanta mengesahkan cara penularan utama adalah melalui “droplet” dan BUKAN MELALUI UDARA. Paling jauhpun bebola mikro “droplet” bertebaran jika seseorang yang dijangkiti itu batuk ialah 1 meter (3 kaki).

  • Ini menjadi asas kepada penjarakkan sosial dan penggunaan topeng muka bila berada di luar.
  • Penggunaan topeng bukanlah setiap masa, hanyalah bila penjarakkan tidak dapat dilaksanakan. Bermakna jika kita di tempat yang padat seperti dalam koc LRT, sangat wajar memakai topeng muka tetapi jika berjogging seorang diri di taman terbuka, tiada keperluan memakai topeng muka.

Secara konsisten WHO dan CDC Atlanta menyatakan bahawa permukaan keras/padat boleh dicemari “droplet” mengandungi virus. Namun TIADA BUKTI KUKUH ia menjadi SUMBER UTAMA penularan jangkitan. Namun:

  • Atas prinsip berhati-hati (precautionary), ini menjadi asas kepada penjagaan kebersihan tangan.
  • Secara konsisten WHO menyarankan hanya permukaan yang sering disentuh yang perlu didisinfeksi.

Secara konsisten WHO dan CDC tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa pakaian (fabrik) tercemar merupakan punca jangkitan utama. Sifat fabrik yang meresap, bebola “droplets” pasti akan pecah dan mendedahkan virus dan membunuhnya.

  • Atas prinsip berhati-hati (precautionary), penggunaan “disposable gown” hanya disarankan kepada anggota kesihatan dan sokongan yang MENGENDALIKAN PESAKIT COVID-19 SECARA LANGSUNG, tetapi tidak bagi anggota kesihatan yang lain (saya lihat anggota farmasi lengkap “bergaun” dispense ubat kepada pesakit umum (bukan Covid-19) di bawah khemah di luar klinik kesihatan di tengah panas!

Secara konsisten WHO MENEGASKAN disinfeksi tempat awam yang terdedah seperti Jalanraya, perhentian bas dan pasar-pasar basah TIDAK PERLU kerana virus tidak mampu bertahan lama dan mudah musnah dipersekitaran sedemikian.

  • SAYA SEKALI LAGI MENEGASKAN aktiviti disinfeksi di tempat-tempat berkenaan adalah SATU PEMBAZIRAN DANA AWAM (termasuk cukai yang saya bayar) dan BERTENTANGAN DENGAN SARANAN WHO.

Hakikatnya, jika kita:-

  • Telah berjaya mencapai matlamat untuk merendahkan lengkok epidemiologi
  • Telah berjaya mengukuhkan sistem kesihatan (peningkatan keupayaan diagnosis, ICU, hospital dan wad khusus Covid, hospital risiko rendah, pusat kaurantin yang telah diwarta), dan sosial (pakej rangsangan ekonomi) untuk menghadapi gelombang Covid-19 yang lebih besar (kapasiti mampu tampung kes Covid sehingga 6,000 kes seminggu seperti diunjurkan JP Morgan, gelombang semasa kes seminggu tertinggi hanya 1,163).
  • Telah memahami cara penularan dan cara mencegahkannya dengan mudah iaitu penjarakkan sosial, pemakaian topeng dan menjaga kebersihan tangan.

Kenapa:-

TUKANG GUNTING RAMBUT TIDAK DIBENARKAN BEROPERASI sehingga hari ini? Berapa ribu tukang gunting rambut sepenuh masa tetapi kecil-kecilan yang sudah putus punca pendapatan? Kenapa penjarakkan sosial tidak boleh dilaksana di kedai-kedai gunting rambut? Jika risiko penularan datang dari pelangan yang bergejala (tapi masih mahu bergunting rambut), apakah tukang gunting tidak boleh menolak pelangan berkenaan?

Sekali pun sukar untuk menolak, apakah mewajibkan pemakaian topeng muka, baik pelangan mahupun tukang gunting tidak mampu menghalang penularan jangkitan?

Kalau masih ragu-ragu, apakah tidak boleh diwajibkan tukang gunting menggunakan pelindung muka (face shield) seperti petugas kesihatan berisiko tinggi (sedangkan kakitangan kesihatan yang berisiko tinggi saja yang disaran guna face shield, apakah kebarangkalian tukang gunting rambut terdedah lebih tinggi dari kakitangan kesihatan?).

Jika semua langkah mudah ini diambil, apakah Covid-19 masih boleh ditularkan di kedai gunting rambut? Ya, masih boleh tapi risikonya teramat rendah dan sama dengan mereka yang membeli belah di pasaraya. Kenapa pasaraya boleh berniagaa tapi Pak Mahat tukang rambut Kampong Kempadang tak boleh? Kenapa perlu mewujudkan garispanduan yang terlalu rumit sedangkan mereka bukan merawat pesakit Covid?

Saya mencadangkan tukang gunting rambut dibenarkan beroperasi dengan SOP yang mudah dan berkesan (topeng atau pelindung muka bagi tukang gunting dan topeng muka bagi pelanggan).

Atas hujah yang sama, kenapa pemakaian topeng baik peniaga dan pelangan tidak mampu menghalang penularan Covid-19 di pasar-pasar tani? Kalau masih tidak yakin, wajibkan peniaga memakai pelindung muka. Dengan pasar-pasar tani rata-rata diadakan di kawasan terbuka, risiko penularan adalah jauh lebih rendah dari di pasaraya.

Apatah lagi, sebahagian besar mukim (lebih 80%) tidak lagi mempunyai penularan Covid. Malah hampir separuh Mukim tidak pernah mencatatkan kes Covid sehingga kini (lihat Facebook Rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Perak).

Kenapa peniaga kecil dan petani di Bidor, Chendering, Sungkai, Bagan Datuk, Parit Buntar dan banyak lagi perlu menanggung beban putus punca pendapatan yang sama dengan peniaga-peniaga pasar tani di Lembah Klang? Risiko penularan di pasaraya adalah lebih tinggi berbanding di pasar tani kerana tempat tertutup dan berhawa dingin. Tetapi kenapa berniaga di pasaraya boleh tetapi tidak di pasar tani?

Saya cadangkan pasar tani dan pasar malam dibenarkan beroperasi dengan syarat-syarat yang mudah dan berkesan (topeng atau pelindung muka bagi peniaga dan topeng muka bagi pelanggan).

Siri No 2

Saya asalnya ingin menyambung membincangkan pandangan saya mengenai isu rumah ibadat pula dalam Siri No. 2 ini. Namun setelah membaca reaksi dan komen dari pelbagai pihak (penulisan No. 1 telah turut ditular melalui WhatsApp), saya ingin melangkah setapak kebelakang. Saya merasakan masih ramai yang tidak memahami prinsip kawalan penyakit berjangkit dan matlamat sebenar perlaksanaan PKP.

Oleh kerana saya mengajak tuan-tuan & puan-puan meneliti pandangan saya mengenai tindakan selepas PKP atau “exit strategy” yang diambil oleh pihak berwajib, amat penting bagi tuan-tuan & puan-puan bersama-sama pada “muka yang sama” dengan saya dalam kefahaman mengenai prinsip-prinsip kawalan penyakit berjangkit dan matlamat sebenar mengapa hampir semua negara di dunia, melaksana PKP dengan pelbagai variasi bagi menghadapi Covid-19 gelompang pertama.

Pada saya ini sangat penting kerana saya tidak mahu berhujah berdasarkan emosi tampa ilmu. Saya akur saya tidak mengetahui semua perkara, jika ada bukti berlainan, sila kan berkongsi.

PERTAMA: Terdapat perbezaan di antara MENGAWAL (control) dan MENAMATKAN (eliminate) penularan penyakit berjangkit. Mengawal bererti membawa jangkitan ke satu tahap yang boleh ditangani tanpa terlalu membebankan sistem kesihatan. Menamatkan bererti memutuskan terus penularan ke arah pembasmian jangkitan tersebut.

KEDUA: Adakah penularan Covid-19 boleh diputus dan dibasmikan? Sepakat pakar-pakar penyakit berjangkit dan WHO menegaskan amat sukar dan tidak mungkin bagi penyakit yang begitu mudah berjangkit seperti Covid-19 tanpa adanya UBAT BERKESAN untuk membunuh virus yang menjangkiti dan VAKSIN BERKESAN untuk mencegah kita dari dijangkti. Sekarang masih belum ada ubat dan vaksin berkesan.

Paling cepat vaksin berada di pasaran adalah di pertengahan tahun hadapan. Itu pun kalau negara pengeluar nak jual kepada Malaysia.

China dan US antara negara paling awal dijangka menghasilkan vaksin. Sudah pasti mereka mahu berikan kepada rakyat mereka dulu.

Tapi bukankah kita sudah hampir memutuskan penularan dengan bilangan kes yang rendah sekarang hanya melalui tindakan isolasi, kuarantin, PKP, PKP di pertingkat (PKPP), dan PKP Bersyarat (PKPB) tanpa perlu ubat dan vaksin? Betul kes tersangat rendah tapi apakah kita pasti memang tiada langsung?

Berapa ramai yang dijangkiti tetapi TIDAK MENUNJUKKAN GEJALA atau GEJALA YANG RINGGAN saja yang sembuh dengan sendiri tetapi boleh memudaratkan jika ditularkan kepada yang berisiko seperti orang tua atau mereka yang ada masalah perubatan?

Benar PKP boleh memutuskan penularan tetapi untuk itu berlaku PKP penuh perlu dilaksanakan selama paling kurang 6 BULAN dan SEMPADAN NEGARA DITUTUP SELAMA MANA MASIH ADA JANGKITAN Covid-19 di muka bumi ini. Agaknya apa akan jadi kepada rakyat dan negara ini jika ini pilihan kita untuk memutuskan Covid-19 melalui PKP yang berpanjangan?

KETIGA: Kalau begitu apa tujuan dan matlamat PKP? Oleh kerana Covid-19 adalah penyakit berjangkit yang baru dan sangat mudah berjangkiti, sepakat pakar-pakar seluruh dunia dan WHO menegaskan bahawa ia boleh menyebabkan wabak yang tidak terkawal yang boleh melumpuhkan sistem kesihatan dan menyebabkan kadar kematian yang tinggi bagi kumpulan berisiko.

Oleh kerana belum ada ubat dan vaksin, kawalan pergerakkan serta langkah-langkah pencegahan seperti dibincang dalam Siri No. 1 sebelum ini, mampu mengekang penularan. Namun PKP berpanjangan boleh memusnahkan ekonomi sesebuah negara dengan kesan sosial dan kesihatan yang lebih buruk dari Covid-19 itu sendiri. Sebab itu, sepakat pakar-pakar seluruh dunia dan WHO menegaskan MATLAMAT UTAMA PKP adalah untuk:-

  • MERENDAHKAN LENGKOK EPIDEMIOLOGI (flattening the epidemiologic curve) wabak ini supaya tidak memberi kesan keterlaluan (“overwhelming”) dan melumpuhkan sistem kesihatan seperti apa yang berlaku di Itali dan di sesetengah bandaraya di Amerika Syarikat diperingkat awal gelombang Covid-19.
  • MEMBERI MASA kepada kerajaan untuk MEMPERKUKUHKAN DAN MEMPERSIAPKAN SISTEM KESIHATAN DAN SOSIAL bagi menanggani gelombang Covid-19 yang seterusnya (sehingga ubat dan vaksin berkesan ditemui).

KEEMPAT: Apakah kita telah berjaya mencapai kedua-dua matlamat PKP tersebut? YA, KITA SUDAH BERJAYA, malah dengan cemerlang dan dipuji seluruh dunia. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada KKM dan kerajaan kerana telah berjaya merendahkan lengkok epidemiologi jangkitan melalui tindakan PKP, PKPP dan kini PKPB dengan kerjasama rakyat mematuhi arahan dan garispanduan.

Bagi matlamat pertama, JP Morgan mengunjurkan bilangan kes di Malaysia akan mencecah kemungcak 6,000 KES SEMINGGU pada minggu epid ke 11 (pertengahan April 2020 – lihat rajah unjuran JP Morgan). Namun kemuncak kes mingguan kita hanyalah 1,163 KES tiga minggu kemudian pada minggu epid ke-14.

Bererti kita berjaya MERENDAHKAN DAN MELEWATKAN kemuncak kes dan memberi masa berharga untuk bertindak memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan.

Hasilnya kita berjaya pula mencapai matlamat kedua PKP untuk memperkukuhkan sistem kesihatan dan sokongan sosial seperti berikut:-

  • Bilangan katil dan alat bantuan penafasan Unit Rawatan Rapi (ICU) telah bertambah beratus kali ganda.
  • Hospital khusus merawat Covid-19 dikenalpasti dan beribu-ribu katil bagi merawat Covid-19 juga telah disediakan di semua hospital seluruh negara.
  • Pusat rawatan kes Covid -19 berisiko rendah yang mampu menempatkan seribu pesakit berjaya dibangunkan di MAEPS dalam masa 3 hari sahaja.
  • Keupayaan makmal mendiagnos Covid-19 telah dipertingkatkan dari beberapa ratus sehari kepada 30,000 ujian sehari.
  • Beratus-ratus Pusat Kuarantin yang boleh menempatkan beribu-beribu orang yang perlu dikuaratin telah pun diwartakan.
  • Bagi sokongan sosial dan ekonomi, kerajaan juga telah melaksana beberapa bantuan secara langsung kepada rakyat yang terkesan di samping pakej rangsangan ekonomi yang besar dengan peruntukan ratusan billion ringgit.

Pendek kata, kita SEPATUTNYA TELAH PUN BERSEDIA UNTUK MENGHADAPI GELOMBANG COVID-19 YANG LEBIH BESAR lagi, hakta jika ia mencecah 6,000 kes seminggu seperti yang diunjurkan sebelum ini.

Jika itu berlaku, sepatutnya sistem kesihatan kita masih boleh bertahan. Seperti yang dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) sendiri, sebahagian besar pesakit mengalami gejala yang ringgan sahaja yang sebenarnya tidak pun perlu dimasukkan ke hospital (sebab itu diwujudkan pusat rawatan jangkitan berisiko rendah).

Hanya 20% sahaja yang perlu rawatan hospital dan 10% darinya memerlukan rawatan ICU. Dengan kemuncak seribu lebih kes baru seminggu bagi gelombang kali ini, kapasiti ICU dan alat bantuan pernafasan yang diguna-pakai oleh pesakit hanya sekadar 30% sahaja dari kapasiti yang tersedia.

Ini bermakna KITA SUDAH BERSEDIA UNTUK MENGHADAPI GELOMBANG COVID-19 YANG LEBIH BESAR. Tindakan kita merendahkan lengkok epidemiologi TELAH BERJAYA MENCAPAI MATLAMATNYA.

Oleh itu kita sepatutnya SUDAH BERSEDIA UNTUK MENJALANI KEHIDUPAN DAN MERANCAKKAN KEMBALI EKONOMI yang terjejas teruk sejak gelombang pertama Covid-19 melanda. Bloomberg telah meramalkan Malaysia akan MENGALAMI KEMELESETAN EKONOMI YANG TERUK DALAM MASA 6 BULAN SAHAJA LAGI.

Apakah kita tidak mampu mencegah kemelesetan ini dari berlaku? Dengan semangat Malaysia Boleh, kita sepatutnya boleh jika kita BIJAK MENGURUSKAN PASCA-PKP DENGAN CEPAT, BERKESAN, TERATUR DAN EFISIEN SERTA BERASASKAN KEPADA KEFAHAMAN YANG BETUL DAN BUKTI KESIHATAN AWAM YANG JITU.

Kita telah membuktikan kepada dunia Malaysia cemerlang dalam merendahkan lengkok epidemiologi dan mengambil tindakan pengukuhan sistem kesihatan dan sosial. Kini marilah buktikan kepada dunia kita mampu merangsangkan kembali ekonomi dan mengelak kemelesetan teruk yang boleh meruntuhkan sistem kehidupan dan social rakyat Malaysia.

Apakah kita TIDAK TAKUT dengan gelombang Covid-19 melanda semula? SELAGI BELUM ADA VAKSIN, SELAGI ITULAH ANCAMAN COVID TETAP ADA. Tapi bukankan prasarana dan sistem kesihatan kita telah bersedia untuk sebarang kemungkinan? Sekalipun jika gelombang kedua melanda, apakah ia boleh mencecah sehingga 6,000 kes seminggu seperti yang diunjurkan oleh JP Morgan di awal gelombang yang pertama? Saya kata sepatutnya TIDAK kerana:-

  • Kita sudah tahu cara mencegahnya – isolasi, kuarantin, perjarakkan sosial, pemakaian topeng muka dan kebersihan diri. KKM sudah membuat unjuran, jika SOP tidak dipatuhi, kes boleh meningkat semula (lihat rajah unjuran KKM). Jadi jika SOP dipatuhi, risiko peningkatan kes adalah rendah. Malah unjuran tersebut menunjukkan peningkatan yang lebih “gentle” dan tahap jangkitan menyamai semasa dalam PKP sahaja.
  • Rata-rata rakyat telah memahami dan mematuhi garispanduan. Tahap kepatuhan adalah tinggi dengan pelbagai aplikasi pengawasan (MySejahtera, SeLangkah) yang digunakan.
  • Anggota kesihatan barisan hadapan sudah terlatih dan bersedia. Jika mereka BERTINDAK PANTAS MELAKUKAN SIASATAN, MENGESAN KONTEKS DAN MENGAMBIL TINDAKAN KUARANTIN DAN ISOLASI, saya yakin perebakan Covid-19 mampu di kawal. Kita juga sudah mempunyai kaedah PKP-dipertingkatkan jika perlu bagi mengawal penularan.
  • Kita berjaya mengekang perebakan Covid-19 dari kes-kes yang diimpot kerana pengurusan efisien dipintu masuk dan tindakan pencegahan yang diambil. Tidak ada masalah bagi rakyat Malaysia untuk pulang dari luar negara walaupun mereka dijangkiti, kerana yang penting kita tahu bagaimana menghalang mereka merebakkan jangkitan pada orang lain. Malah adalah amat wajar bagi kerajaan membawa pulang pelajar-pelajar kita yang terperangkap di negara asing yang keupayaan mereka menangani Covid-19 dan melindungi rakyat kita diragui.

Oleh itu, saya berkeyakinan, KITA MAMPU MERANGSANG SEMULA EKONOMI DAN MENGELAKKAN BERLAKUNYA KEMELESETAN YANG TERUK DAN DALAM MASA YANG SAMA MENGAWAL PEREBAKAN COVID-19. Kita tahu cara penularan jangkitan ini, kita tahu cara mencegahnya dan kita tahu siapa kumpulan risiko mendapat jankitan teruk.

Dalam siri berikutnya saya akan membincangkan pengurusan tempat ibadat dan diikuti dengan pengurusan sektor ekonomi kritikal seperti Pendidikan dan Perlancongan yang pada hemat saya adalah sektor ekonomi kritikal yang perlu dilindungi dan dipulihkan.

Disclaimer: Penulisan ini adalah pandangan peribadi saya semata-mata dan tidak ada mewakili mana-mana pihak.

Prof Dr Lokman Hakim Sulaiman ialah Pakar Perunding Kesihatan Awam dan Ahli Kumpulan Penasihat WHO bagi Rangka Kesiapsiagaan Pandemik Influenza, Geneva.

  • This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of CodeBlue.

You may also like