Lebih 2,400 Kenderaan Cuba Rentas Negeri

Mulai hari ini, kompaun akan dikenakan di tempat sekatan jalan raya, kata Menteri Kanan Pertahanan.

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Semalam, pihak polis mendapati sebanyak 2,412 buah kenderaan telah cuba merentas negeri, dengan pemandu memberi alasan mahu pulang ke kampung sebelum Hari Raya, menurut Menteri Kanan Pertahanan.

Ismail Sabri Yaakob berkata di Kuantan, Pahang, seramai 1,300 orang beratur di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk memohon kebenaran merentas negeri untuk pulang ke kampung.

“Saya ingin tegaskan, mesyuarat khas MKN (Majlis Keselamatan Negara) hari ini memutuskan pergerakan rentas negeri tak dibenarkan sama sekali.

“Jadi tak payah lah selepas ni, beratur panjang-panjang untuk dapatkan kebenaran dari polis merentas negeri. Polis tidak akan benarkan lagi,” Ismail Sabri beritahu sebuah sidang media hari ini.

Beliau juga berkata mulai hari ini, orang yang diarahkan berhenti di sekatan jalan raya akan dikompaun di tempat sekatan jalan raya dan bukan sahaja diarah berpatah balik.

“Akibat rentas negeri, semalam kita baca, satu perempuan didapati positif apabila sampai ke kampung selepas merentas negeri. Sebab itu kita tidak berkompromi lagi dalam soal rentas negeri.”

Media melaporkan seorang wanita hamil yang merentas negeri dari Ampang, Selangor, ke Kuala Krai, Kelantan, dan didapati positif Covid-19 apabila mengunjungi klinik kesihatan bu dan anak di Kelantan. Sebelum ini, Kelantan ialah negeri yang diklasifikasikan zon hijau, iaitu tiada kes coronavirus.

You may also like