Menteri Kesihatan Tidak Mempunyai Kepentingan Perniagaan Dalam KJSB — Pejabat Menteri Kesihatan

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba tidak pernah memberi sebarang arahan kepada pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia agar meluluskan pemberian kontrak kepada Khazanah Jaya Sdn Bhd (KJSB) atau mana-mana syarikat.

Pejabat Menteri Kesihatan ingin menegaskan tuduhan bahawa YB Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, mempunyai kaitan dengan syarikat Khazanah Jaya Sdn Bhd (KJSB) yang mendapat kontrak-kontrak secara Perolehan Darurat bagi pelaksanaan “Lab Mitigation Solution For Covid-19” adalah tidak benar, berniat jahat dan bersifat ‘character assassination

YB Menteri tidak pernah mempunyai sebarang kepentingan perniagaan dalam KJSB atau para pemegang saham syarikat terbabit.

Perlu ditegaskan YB Menteri tidak pernah memberi sebarang arahan kepada pegawai Kementerian agar meluluskan pemberian kontrak kepada KJSB atau mana-mana syarikat.

Semua urusan pembelian dan perolehan oleh Kementerian Kesihatan sepanjang perang menentang Covid-19 ini dilakukan mengikut prosedur dan tatacara kewangan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan para pegawai yang bertanggungjawab.

Sebuah NGO membuat provokasi umum kemungkinan YB Menteri mempunyai kepentingan perniagaan dalam KJSB berdasarkan kedudukan Iskandar Mirza Ahmad pernah menjadi pengarah syarikat South Asia Noble Sdn Bhd (SANSB). SANSB mempunyai kaitan dengan pemilik KJSB.

Dakwaan ini jelas berniat jahat dan mendorong serta mencipta sangkaan buruk rakyat terhadap YB Menteri kerana Iskandar Miza telah lama meninggalkan SANSB. Menggunakan fakta Iskandar Mirza sebagai bekas pekerja (Pengarah SANSB) bagi mengaitkan YB Menteri dengan tuduhan penyalahgunaan kuasa berkaitan syarikat lain sangat tidak masuk akal.

Form 49 for South Asia Noble Sdn Bhd. Picture from the Ministry of Health.

Iskandar Mirza menyertai SANSB dari 18.07.2007 hingga 30.01.2015, sementara Tan Boon Keong dan Tan Jiat Jui menyertai SANSB hanya dari 30.01.2015.

Sungguhpun begitu, YB Menteri mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang berjalan dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya.

Adalah penting untuk sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat penyelewengan berkaitan pembelian oleh Kementerian Kesihatan menyerahkan bukti dan dokumen kepada SPRM, bukannya melempar tuduhan rambang sehingga menimbulkan fitnah dan gosip tidak benar.

  • This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of CodeBlue.

You may also like