Dr Adham, WHO Rakam Penghargaan Kepada Staf Kesihatan

Menteri Kesihatan dan wakil WHO juga berterima kasih kepada semua jururawat di Malaysia.

KUALA LUMPUR, 7 April — Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini menulis surat penghargaan kepada semua staf kesihatan bersempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2020.

Dr Adham dan Dr Lo Ying-Ru Jacqueline, wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, berkata pandemik Covid-19 merupakan satu cabaran getir yang memberi impak terhadap sistem kesihatan negara Malaysia.

“Namun begitu, petugas-petugas kesihatan merupakan tunggak barisan hadapan yang telah mengorbankan masa dan menggembeling tenaga mereka bagi membendung pandemik ini,” mereka berkata dalam satu surat penghargaan.

“Hakikatnya, sistem kesihatan di Malaysia tetap berdiri kukuh dengan kehadiran petugas-petugas kesihatan dan semua petugas barisan hadapan yang amat berdedikasi, bertungkus lumus untuk menghentikan penularan wabak ini.

“Kami amat terharu dengan pengorbanan yang anda sumbangkan. Segala dedikasi, komitmen berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini, mempertaruhkan nyawa sendiri demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat Malaysia, amatlah kami hargai.”

Dr Adham dan Dr Lo juga berterima kasih kepada semua jururawat di Malaysia, seiring dengan tema khas sambutan Hari Pertubuhan Kesihatan Sedunia 2020, iaitu Tahun Antarabangsa Para Jururawat dan Jururawat Kebidanan, atas “segala jasa mereka dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik di Malaysia ini.”

“Akhir kata, kami juga ingin berterima kasih kepada segenap lapisan masyarakat yang turut membantu petugas-petugas kesihatan serta petugas-petugas di barisan hadapan dalam menangani pandemik ini.

“Percayalah bahawa dengan usaha dan kerjasama dari semua pihak ini, kita pasti menang dalam perjuangan penularan Covid-19 ini.”

Malaysia melaporkan semalam 131 kes Covid-19 baharu, menjadikan jumlah kes di negara sebanyak 3,793 kes. Satu kematian baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kematian berkait dengan coronavirus sebanyak 62 kes.

You may also like