KUALA LUMPUR, 18 Mac — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini mengumumkan penutupan pusat panggilan Talian Kasih sepanjang perintah kawalan pergerakan.
KPWKM berkata pusat panggilan Talian Kasih 15999 dan Talian WhatsApp 019-2615999 — yang biasanya mengendali aduan deraan — akan ditutup sementara mulai hari ini sehingga 31 Mac.
“Semua urusan di Pusat Panggilan Talian Kasih akan beroperasi semula pada 1 April 2020. Sebarang aduan kes kecemasan mohon hubungi talian 999 atau 112,” KPWKM berkata.
Walau bagaimanapun, KPWKM telah memadam tweet pengumuman tersebut. Apabila CodeBlue memanggil Talian Kasih 15999, satu mesej yang dirakamkan berkata talian tersebut telah ditangguhkan dari 18 Mac hingga 31 Mac dan untuk memanggil 999 untuk kecemasan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun dan timbalannya, Siti Zailah Mohd Yusof, tidak menjawab panggilan atau teks mesej CodeBlue untuk mengesahkan jika Talian Kasih memang ditutup sementara kawalan pergerakan untuk menangani wabak Covid-19.
Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kementerian untuk mengkaji semula keputusan untuk menutup Talian Kasih.
“Perkhidmatan Talian Kasih wajar diteruskan untuk memberi tumpuan khas perlindungan dan kebajikan kumpulan sasar seperti kanak-kanak, warga emas, OKU dan mangsa keganasan rumahtangga,” Yeoh berkata dalam satu kenyataan.
“Ini juga untuk memastikan talian 999 atau 112 ini tidak dibebankan dengan isu yang lain dan boleh memberi fokus kepada isu keselamatan berbangkit daripada perintah kawalan pergerakan.”
Ahli Parlimen Azalina Othman Said juga memberitahu Rina bahawa MKN tidak memberi arahan untuk perkhidmatan atas talian ditutup.
Menurut MKN dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, perkhidmatan atas talian adalah dianggap sebagai perkhidmatan essential.
Update at 3:55 pm:
Rina berkata di laman Facebook beliau bahawa Talian Kasih 15999 tidak ditutup dan masih dibuka 24 jam seperti biasa, walaupun panggilan terhadap talian tersebut masih tidak dijawab, dengan rakaman mesej yang ia telah ditangguhkan.
“Kenyataan rasmi akan dikeluarkan segera.”