Tawaran Khidmat Bantuan Sukarela Ahli PPPKAM Kepada KKM Dalam Covid-19 — PPPKAM

PPPKAM bersedia membantu Kementerian Kesihatan dalam sesi engagement bagi meningkatkan kesedaran masyarakat kepada masalah Covid-19 ini.

Pertamanya, saya mewakili Persatuan ingin mengucapkan tahniah di atas pelantikan YB Datuk Seri sebagai Menteri Kesihatan Malaysia yang baru.

Kami mendoakan YB Datuk Seri dan juga YBhg Datuk Ketua Pengarah Kesihatan agar sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik oleh Yang Maha Esa dalam menjalankan amanah demi meningkatkan tahap kesihatan masyarakat.

Seperti mana organisasi dan individu di negara ini, PPPKAM juga sangat cakna dan sentiasa mengikuti perkembangan situasi terkini kluster COVID-19 dan juga tindakan-tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menangani penyakit ini.

Syabas kepada KKM kerana walaupun statistik kes COVID-19 yang dikesan semakin meningkat, namun ianya masih dalam keadaan terkawal dan masyarakat sentiasa mendapat berita terkini melalui sidang media rasmi KKM secara harian.

PPPKAM juga ambil maklum dan prihatin kepada keadaan anggota kesihatan pelbagai kategori di peringkat kementerian, negeri dan daerah yang penuh komited dan bertungkus lumus dalam menjalankan tugasan masing-masing termasuk di lapangan bagi mengawal dan membendung merebaknya kes ini di kalangan masyarakat negara ini.

PPPKAM juga amat yakin, kesibukan anggota kesihatan di seluruh negara dalam menjalankan operasi mengesan, menjalankan siasatan kes positif, mengambil sampel kontak rapat, survelan di rumah dan lain-lain lagi aktiviti kawalan Covid-19 pada masa kini sebenarnya telah membataskan aktiviti–aktiviti Kesihatan Awam lain yang tidak kurang pentingnya dan diperlukan pada waktu ni seperti dalam aspek Situational Analysis of Covid-19, Effective Risk Communication, Big Data Analysis & Prediction, Epidemiological Surveillance dan lain-lain.

Justeru, PPPKAM berbesar hati untuk turut sama menyumbang tenaga bersama-sama Kementerian dengan menawarkan khidmat kepakaran dari Pakar Perubatan Kesihatan Awam secara sukarela oleh kalangan ahli PPPKAM yang mempunyai kemahiran teknikal dan berpengalaman.

PPPKAM bersedia membantu Kementerian Kesihatan dalam sesi engagement dengan masyarakat, organisasi atau agensi bagi meningkatkan kesedaran masyarakat kepada masalah Covid-19 ini.

Sehubungan itu, PPPKAM bersedia untuk mengadakan perjumpaan dengan YBhg Datuk Seri / YBhg. Datuk atau pegawai kanan Kementerian bagi membincangkan kerjasama sukarela ini sesuai dengan keperluan mendesak yang diperlukan daripada pihak PPPKAM.

Pegawai kami yang boleh dihubungi untuk perancangan lanjut adalah Dr Ghazali bin Chik, Setiausaha PPPKAM di talian 019-2991941 atau saya sendiri di talian 019-210 7286.

Perhatian YBhg Datuk Seri / YBhg Datuk dalam perkara ini, diucapkan jutaan terima kasih.

Dr Zainal Ariffin Omar ialah presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM).

  • This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of CodeBlue.

You may also like