Perlis Batal Solat Jumaat Hari Ini

Perutusan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin dibuat susulan deklarasi pandemik novel coronavirus, dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia.

KUALA LUMPUR, 13 Mac — Raja Perlis menitahkan solat Jumaat hari ini di seluruh negeri itu digantikan dengan solat zohor di rumah masing-masing, susulan deklarasi pandemik novel coronavirus.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkata keputusan itu diputuskan setelah menerima pandangan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai perkembangan Covid-19.

Dalam sebuah kenyataan, Tuanku Syed Faizuddin, merangkap presiden Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memaklumkan, pihak KKM meminta agar sebarang perhimpunan perhimpunan berskala besar, termasuk aktiviti agama, hendaklah dielakkan.

“Oleh hal yang demikian, pengurusan masjid-masjid di seluruh negeri Perlis hendaklah mengelakkan daripada melaksanakan apa-apa aktiviti perhimpunan awam berskala besar buat masa ini.

“Maka dinasihatkan agar individu Muslim sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.”

Perutusan itu dibuat oleh MAIPs dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis bagi menjunjung titah perintah dan perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin.

You may also like