KUALA LUMPUR, 6 Mac — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan 28 kes baharu jangkitan novel coronavirus, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 83 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata 18 orang dalam kluster berkaitan dengan kes ke-26 telah disahkan positif Covid-19. Seramai 170 orang lagi masih menunggu keputusan makmal, manakala 70 orang adalah negatif.
Pengerusi UDA Holdings Hisham Hamdan hari ini mengakui bahawa beliau ialah pesakit ke-26, namun menafikan bahawa beliau ialah “patient zero” dalam kluster baru.
“KKM masih menjalankan siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat masih diteruskan bagi mengenalpasti punca di mana kes mendapat jangkitan dan seterusnya mencegah penularan jangkitan tersebut,” kata Dr Noor Hisham dalam sebuah kenyataan.
Daripada jumlah 83 kes Covid-19 di Malaysia, 65 orang adalah warganegara Malaysia, 15 orang adalah warganegara China dan tiga orang adalah lain-lain warganegara (iaitu Amerika Syarikat, Jepun serta Itali).
Kes ke-24 telah pulih dan dibenarkan discaj daripada wad Hospital Kuala Lumpur, menjadikan 23 pesakit telah pulih sepenuhnya setakat ini dari Covid-19.
“Kes ini telah berjaya dirawat, semua kontak rapat bagi kes ini telah berjaya dikesan dan penularan Covid-19 bagi kluster ini telah berjaya dibendung,” kata Dr Noor Hisham.
Beliau juga berkata situasi jangkitan Covid-19 kini masih lagi dalam kawalan dan berada pada tahap pembendungan awal (early containment).
“Pihak penganjur bagi program dan aktiviti rasmi di tempat awam adalah digalakkan untuk menjalankan penilaian bagi penganjuran yang melibatkan ramai peserta / kehadiran. Berdasarkan penilaian tersebut, pihak penganjur boleh menentukan sama ada program tersebut sesuai untuk diteruskan,” nasihat Dr Noor Hisham.