Budak Disyaki Dijangkiti Influenza Meninggal Dunia

Kejadian ini merupakan kematian kedua daripada Influenza A, atau H1N1.

KUALA LUMPUR, 13 Jan — Seorang budak berumur 12 tahun dari Subang Jaya, Selangor, meninggal dunia semalam selepas disyaki dijangkiti Influenza A apabila demam sejak Jumaat lalu.

Sinar Harian melaporkan ibu Faiz Fauzan Pauzul Kamil, Nek Mudzlifah Abdul Kahar, berkata anaknya mulanya disangka hanya mengalami demam biasa.

“Awalnya saya bawa ke klinik selepas dia demam sejak malam (Jumaat), tapi doktor maklumkan dia hanya alami demam biasa dengan suhu badan 38 darjah Celsius.

“Kemudian kami bawanya ke hospital swasta pada malam Sabtu selepas dia alami sawan dan ketika itu barulah doktor maklumkan dia alami Influenza A selepas pemeriksaan lanjut dijalankan,” beliau dilaporkan berkata.

Kejadian ini berlaku selepas seorang kanak-kanak berumur satu tahun dari Pahang dilaporkan meninggal dunia daripada Influenza A, atau H1N1.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata hari ini bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia telah memberi kelulusan untuk hampir satu juta tablet vaksin influenza dibekalkan kepada sektor swasta untuk 100,000 pesakit.

You may also like