Selepas Kes Polio, Upko Seru Tarik Balik IC Di Sabah

Upko dakwa kes polio mungkin berkait rapat dengan kemasukan pendatang asing tanpa izin.

KUALA LUMPUR, 11 Dis — Upko mendakwa hari ini ada kemungkinan kes polio di Tuaran berkait rapat dengan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Parti politik tersebut merujuk kepada hasil dapatan yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyatakan virus polio yang menjangkiti bayi ini mempunyai kaitan genetik yang dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP), iaitu kelumpuhan anggota badan yang boleh menunjuk kepada polio, di Filipina.

“Kita tidak rela Sabah menjadi vektor penyebar virus polio,” kata Joisin Romut, ahli majlis tertinggi Upko, dalam satu kenyataan hari ini.

“Justeru, sebelum sesuatu perancangan terkini berhubung pelaksanaan terhadap membendung PATI di Sabah dilaksanakan termasuk PSS (pengeluaran pas sementara), Upko sekali lagi dengan tegas dan sebulat suara menyeru agar kad pengenalan untuk seluruh rakyat Sabah di tarik semula,” tambah setiausaha politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah Wilfred Madius Tangau.

Daily Express melaporkan hari ini penduduk di Kampung Damat di Tuaran mendakwa bahawa ibu atau bapa bayi yang dijangkiti polio ialah seorang migran Filipina dari Pulau Gaya yang berkahwin dengan seorang warga Malaysia dan tinggal di situ sejak 1990-an.

Malaysia melaporkan kes polio yang pertama minggu lepas, 27 tahun sejak kes terakhir pada tahun 1992.

You may also like