Setuju Wajibkan Vaksin? Jawab Survei KKM Ini

Polio kembali 19 tahun selepas Malaysia diisytiharkan bebas polio pada 2000.

KUALA LUMPUR, 16 Dis — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah lancar satu kaji selidik berkaitan imunisasi dan polio selepas wabak polio dilaporkan di Sabah.

Dalam survei tersebut, KKM bertanya jika responden setuju jika undang-undang diwujudkan untuk mewajibkan imunisasi ke atas bayi dan kanak-kanak di negara ini.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata pada bulan Mac lalu bahawa KKM telah menubuhkan pasukan khas untuk melihat isu mewajibkan vaksin di Malaysia.

Beliau berkata pihak KKM bersedia untuk mewajibkan sekurang-kurangnya dua vaksin daripada 12 vaksin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.

Sebuah kempen petisyen oleh Medical Mythbusters Malaysia untuk mewajibkan pengambilan vaksin telah mendapatkan tandatangan daripada lebih 120,000 orang setakat ini.

Survei KKM juga bertanya responden jika mereka rasa risau dengan isu polio yang kembali dikesan di negara ini. Satu kes polio di Tuaran, Sabah, yang melibatkan seorang bayi warganegara Malaysia telah dilaporkan baru-baru ini, 27 tahun selepas kes polio yang terakhir dilaporkan di Malaysia pada tahun 1992. Malaysia diisytiharkan bebas polio pada tahun 2000.

Survei juga bertanya responden jika mereka yakin imunisasi ialah cara terbaik untuk mencegah penyakit berjangkit seperti polio.

Anda boleh jawab survei KKM di sini.

You may also like