Hampir 120,000 Menyokong Langkah Wajibkan Vaksin

Perbincangan hangat menerusi media massa serta internet telah mendapat pelbagai reaksi daripada kerajaan.

KUALA LUMPUR, 8 Mac — Kempen petisyen mewajibkan pengambilan vaksin melalui Program Imunisasi Kebangsaan oleh Medical Mythbusters Malaysia (M3) yang dilancarkan minggu lalu, kini sudah mencapai hampir 120 000 tandatangan.

Sehingga jam 2 petang tadi, sebanyak 118,634 tandatangan telah dikumpul menerusi laman www.change.org.

Pihak yang membantah cadangan mewajibkan program tersebut juga telah mewujudkan petisyen mereka. Antara alasan yang diberikan termasuklah kepercayaan pembuatan vaksin menggunakan sel haiwan (seperti lembu dan monyet), sel janin bayi yang digugurkan dan sebagainya. Walaubagaimana, petisyen tersebut hanya memperolehi 4,116 tandatangan setakat ini.

Sokongan luar biasa masyarakat Malaysia melalui petisyen M3 serta perbincangan hangat yang sedang berlaku menerusi media massa serta internet mengenai isu vaksin telah mendapat pelbagai reaksi daripada pihak kerajaan.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menegaskan bahawa pihak kementerian tiada cadangan untuk mewajibkan suntikan vaksin kepada pelajar.

“Kerajaan mengutamakan pendidikan kepada semua kanak-kanak dan tidak akan menutup pintu kepada sesiapa untuk mendapatkan akses pendidikan.

“Ini adalah kerana vaksin dan juga hak kepada pendidikan adalah 2 isu yang berbeza.”

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, juga berpendirian bahawa perkara ini merupakan pilihan dan keputusan ibu bapa.

Walaubagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerajaan akan terus mengesyorkan perlindungan imunisasi kepada kanak-kanak.

Dalam satu sidang media semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata bahawa pihak Kementerian Kesihatan bersedia untuk mewajibkan sekurang-kurangnya dua vaksin daripada 12 vaksin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.

“Apa yang penting bagi pihak KKM, adalah komitmen kami atas perkara ini dan kepentingan serta tahap kesihatan kanak-kanak yang tidak boleh dipandang ringan.

“KKM telah menubuhkan pasukan khas untuk melihat isu ini secara menyeluruh,”

Beliau juga berkata bahawa penggunaan dua vaksin itu juga mampu mencegah enam penyakit lain.

You may also like