Fasiliti Kesihatan Terjejas Di Kelantan, Terengganu, Johor Akibat Banjir

Tiada kejadian wabak penyakit berjangkit berlaku di kawasan terbabit.

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Sejumlah 17 daerah di Kelantan, Terengganu dan Johor telah dilanda banjir sehingga 7 malam pada 2 Disember, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata.

“Sebanyak 33 buah fasiliti kesihatan terjejas banjir iaitu 28 buah fasiliti kesihatan di Kelantan dan lima buah fasiliti kesihatan di Terengganu,” kata Dr Noor Hisham Abdullah, ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, dalam sebuah kenyataan.

“Daripada jumlah itu, 21 buah fasiliti kesihatan terputus hubungan, lima buah dinaiki air dalam fasiliti kesihatan dan tujuh buah fasiliti kesihatan yang mengalami kenaikan air di luar fasiliti kesihatan.”

Operasi fasiliti kesihatan yang dinaiki air dipindahkan ke fasiliti kesihatan yang berhampiran dan masih dalam operasi seperti biasa.

“Pasukan petugas perubatan dan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah terbabit telah digerakkan ke pusat-pusat pemindahan banjir yang telah dibuka dan memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan rawatan,” tambah Dr Noor Hisham.

“Aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit bagi mengesan dan mengawal kejadian penyakit berjangkit telah dan sedang dijalankan. Pemantauan penyakit sehingga kini menunjukkan tiada kejadian wabak penyakit berjangkit berlaku di kawasan-kawasan yang terbabit.”

KKM juga telah menasihati orang awam supaya mengambil langkah keselamatan semasa banjir.

Antaranya ialah elak bermain dengan air banjir terutamanya jika mempunyai luka atau masalah kulit bagi mengelakkan risiko jangkitan penyakit Leptospirosis (kencing tikus) dan Melioidosis yang ditularkan melalui air yang tercemar; dan minum air yang telah dimasak dan makan makanan yang bersih bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, kolera, tifoid, hepatitis A dan Acute Gastroenteritis.

Selain itu, KKM juga menasihatkan orang awam supaya sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan persekitaran.

“Pembuangan sampah di merata tempat akan mendatangkan risiko penyakit, pembiakan vektor pembawa penyakit seperti tikus, nyamuk dan lain-lain.

“Semasa banjir, bekas-bekas menakung air akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan anopheles. Ini menyebabkan populasi nyamuk bertambah dan meningkatkan penyebaran penyakit bawaan nyamuk seperti Demam Denggi, Chikungunya dan Malaria,” kata Dr Noor Hisham.

You may also like