MP PKR Kritik Serbuan KKM Terhadap Peniaga Vape

Industri vape “dizalimi” apabila diserbu sebelum rang undang-undang ditubuhkan, Abdullah Sani berkata.

KUALA LUMPUR, 14 Nov — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak sepatutnya melakukan serbuan terhadap industri vaping tempatan sebelum rang undang-undang ditubuhkan untuk mengawal selia vaping, Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid berkata hari ini.

Ahli Parlimen dari parti PKR itu memberitahu pemberita bahawa badan pakar kesihatan awam, Public Health England, mempunyai pendirian bahawa vaping adalah 95 peratus lebih selamat daripada rokok tembakau.

Beliau juga berkata bahawa Malaysia ialah pengeksport kedua terbesar produk vaping dan rokok elektronik di dunia, di mana dianggarkan lebih daripada 5,000 usahawan Bumiputera dan dipercayai bahawa 50,000 peluang pekerjaan dapat ditawarkan selepas industri vaping diregulasikan.

“Bila tak diregulasikan, maknanya haram, sentiasa diserbu dan mereka ini dizalimi kerana tidak ada satu undang-undang yang boleh ditegaskan,” Abdullah Sani berkata di sidang media di Parlimen hari ini.

“Hal sebegini tidak sepatutnya berlaku sebelum ada rang undang-undang khusus untuk industri vaping ini. Kerajaan perlulah melihat jumlah rampasan amatlah besar.”

Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM telah menjalankan satu operasi bersepadu di seluruh negara pada 31 Oktober lalu dengan menyerbu 28 premis dan merampas cecair perisa vaping yang disyaki mengandungi nikotin. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM 6.38 juta.

Menurut KKM, penjualan nikotin secara berleluasa tanpa lesen yang sah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952 dan jika didapati bersalah, boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta tersebut, iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Penjualan produk yang mengandungi nikotin hanya boleh dilakukan oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan rawatan perubatan seperti Terapi Penggantian Nikotin bagi perokok yang ingin berhenti merokok,” Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada 1 November lalu.

Apabila seorang pemberita merujuk Abdullah Sani kepada kes seorang remaja Amerika Syarikat yang melalui pembedahan pemindahan dua paru-paru (“double lung transplant”) kerana cedera paru-paru yang dikaitkan dengan vaping, Ahli Parlimen kerajaan itu berkata kerajaan tidak boleh hanya membuat polisi berdasarkan “satu atau dua cerita”.

You must make sure that the rule must be provided and be fair to be everybody. You tak boleh ambil one case, pick up, and then you nak illegalkan semua. You cannot do that. It’s not fair to the players, the contributors of vaping,” Abdullah Sani berkata.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata pada bulan lepas bahawa KKM mengkaji sama ada Malaysia akan melarang penggunaan vape dan rokok elektronik sepenuhnya.

Reuters melaporkan semalam bahawa sejak hari Khamis, pihak kesihatan authoriti AS, CDC, telah melaporkan 2,051 kes cedera paru-paru yang disahkan dan disyaki, dan 39 kematian dikaitkan dengan rokok elektronik atau produk vaping.

Hampir 85 peratus pesakit cedera paru-paru di AS telah melapor menggunakan produk yang mengandungi THC, kompaun dalam ganja yang menyebabkan perasaan “high”.

You may also like