KKM Mungkin Haramkan Vape Sepenuhnya

India, Thailand, dan Singapura adalah antara negara yang mengharamkan vape dan rokok elektronik.

KUALA LUMPUR, 8 Okt — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengkaji sama ada Malaysia akan melarang penggunaan vape dan rokok elektronik sepenuhnya, Dr Lee Boon Chye berkata.

Harian Metro melaporkan Timbalan Menteri Kesihatan itu berkata KKM sudah menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji undang-undang berkenaan vape dan rokok elektronik.

“Melalui jawatankuasa itu, kita kini dalam perancangan untuk menubuhkan rang undang-undang khas bagi mengawal vape dan juga rokok di negara ini.

“Semua dalam perancangan. Ia termasuk mengkaji sama ada kita (negara) akan melaksanakan larangan sepenuhnya penggunaan vape seperti di beberapa negara lain,” Dr Lee dilaporkan berkata selepas Majlis Perasmian Penutup Simposium Health Promotion In Learning Institution (HePiLI) Peringkat Kebangsaan 2019 di Petaling Jaya hari ini.

Dr Lee juga berkata KKM sedang cuba menyekat penjualan vape atas talian dan iklan mengenai produk tersebut.

“Berdasarkan kajian Tobacco and E-Cigarette Survey among Adolescents in Malaysia (TECMA) yang dijalankan KKM pada 2016, 300,000 remaja bersekolah berusia antara 10 hingga 19 tahun adalah pengguna rokok elektronik dan vape.

“KKM memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan lebih serius bagi memastikan penjualan rokok elektronik tidak berleluasa terutama kepada remaja,” beliau dilaporkan berkata.

KKM tweet hari ini bahawa India, Thailand, dan Singapura adalah antara negara yang mengharamkan vape dan rokok elektronik.

Malaysian Vape Chamber of Commerce (MVCC), walau bagaimanapun, telah menyarankan kerajaan agar membenarkan jualan vape yang mengandungi nikotin, seperti United Kingdom, Canada, dan New Zealand.

MVCC juga berkata industri vape di Malaysia telah memberi sumbangan kepada ekonomi, menghasilkan pekerjaan, dan menurunkan bilangan perokok.

Malaysia E-Vaporisers and Tobacco Alternative Association (Mevta) berkata undang-undang yang melibatkan vape dan rokok elektronik akan memberi impak kepada lebih daripada 5,000 bisnes, termasuk 1,800 pemilik kedai vape, di Malaysia.

KKM dilaporkan mahu mengawal rokok elektronik dan produk vape bersama produk tembakau di bawah satu undang-undang yang mungkin dibentang di Parlimen tahun depan. Ia akan melarang promosi dan pengiklanan, penggunaan di tempat awam, dan penggunaan oleh orang bawah umur.

You may also like